
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,350 bakul makanan berupa juadah berbuka puasa diagihkan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah (BSMM) kepada penerima di lapan daerah terpilih sempena bulan Ramadan.
Pengerusi BSMM Negeri Sabah Datuk Asnan Yunus Chung, berkata agihan tersebut dilaksanakan melalui Program Dapur Ramadan Belia BSMM dengan menyasarkan kepada 22 lokasi yang sudah dikenal pasti.
Katanya, program itu merupakan aktiviti kesukarelawan belia BSMM bagi membantu masyarakat yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.
“Kita ingin memberi ruang kepada belia BSMM di negeri ini untuk melakukan aktiviti khidmat masyarakat sambil menerap semangat kerja secara berpasukan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
“Dengan adanya aktiviti sebegini kita dapat melatih dan menerapkan semangat kesukarelawan dalam kalangan ahli-ahli BSMM agar berkhidmat dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan imbuhan atau balasan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pentadbiran BSMM Negeri, di sini hari ini.
Asnan menjelaskan, Program Dapur Ramadan Belia BSMM pada tahun ini turut mendapat tajaan dan kerjasama daripada beberapa syarikat swasta serta Majlis Belia Sabah.

Asnan (dua dari kanan) bersama-sama ahli BSMM Sabah bersedia mengagihkan bakul makanan ke 22 lokasi yang telah dikenal pasti.
Sementara itu Pengurus Operasi Nestle Products Sdn Bhd Tan Wallace Welliam, menjelaskan sebanyak tiga kawah bubur lambuk telah disediakan oleh pihaknya bagi tujuan tersebut.
“Setiap kawah boleh menghasilkan sebanyak 600 mangkuk bubur lambuk dan daripada jumlah tersebut sebanyak 1,350 mangkuk bubur lambuk diagihkan kepada BSMM untuk hantar kepada para penerima manakala bakinya di berikan kepada petugas-petugas program pada kali ini.
“Kami amat berterima kasih kepada BSMM Negeri Sabah kerana sudi berkerjasama dalam melaksanakan tanggung jawab sosial ini.
“Kami juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak jabatan kerajaan atau mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Ia adalah sebagai memenuhi aspirasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dengan menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan dan terjejas semasa pandemik COVID-19,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah BSMM Negeri Sabah Simon Chin Nyuk Kong, Naib pengerusi I BSMM Sabah Mohd Saiful Seman serta Setiausaha Kehormat BSMM Sabah Jenny Kwong Shuk Wah.

Petugas BSMM Sabah ketika memuatkan bakul makanan sumbangan para penderma untuk diserahkan kepada para penerima.
-RI