
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Jaitripta Kaur (WPKL)
KUALA LUMPUR, 25 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan WPKL untuk turun padang bagi membantu masyarakat setempat di Perumahan Awam Seri Perak untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Perak Fairul Iskandar, berkata program turun padang menerusi aktiviti Info on Wheels (IoW) itu mendapat kerjasama daripada JaPen yang komited dalam membantu dalam mewujudkan sasaran imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program seumpama ini secara tidak langsung membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan imunisasi bagi membina keyakinan mereka mengenai keberkesanan vaksin, walaupun pada ketika ini teknologi semakin canggih, maklumat yang berada di hujung jari itu tidak semestinya 100 peratus tepat dan benar.
“Inisiatif yang diambil oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Kesihatan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mewujudkan komuniti berimunisasi bagi menghentikan penularan wabak COVID-19,” kata kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perumahan tersebut, di sini kelmarin.

Intandiana (kiri) mewakili BAWA mengiringi Lim Ann Teck (tengah) Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyampaikan sumbangan kepada golongan Asnaf.
Pada program tersebut seramai 36 orang mengambil peluang untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Maimun Hassan, 54, berkata, dengan adanya program IoW ini, orang ramai dapat disalurkan dengan maklumat yang tepat dan sahih.
“Pelbagai spekulasi dibuat oleh orang ramai berkaitan vaksin COVID-19 dan penyebaran berita tidak benar ini telah mewujudkan ketakutan dalam masyarakat,” katanya.
Pada program sama, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf oleh Persatuan Badan Amal Warga Asnaf (BAWA) dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat.
-ZS