
PUTRAJAYA, 24 Mei (Malaysiaaktif) –Perhimpunan Majlis Kesihatan Sedunia ke-74 membuka tirainya pada Isnin bertemakan “Tamatkan pandemik, cegah yang berikutnya: bersama wujudkan dunia yang lebih sihat, selamat dan adil”.
Acara yang diadakan di Geneva itu akan berlangsung secara maya selama seminggu dan berakhir pada 1 Jun, lapor Sputnik.
Agenda persidangan merangkumi lebih 70 isu terutamanya COVID-19, selain isu kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit, tenaga kerja kesihatan dan keselamatan pesakit, serta keganasan terhadap wanita, gadis dan kanak-kanak.
Perbincangan kali ini akan menentukan keutamaan dan dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tahun depan.
Delegasi dari 194 negara anggota itu juga akan membincangkan bajet pertubuhan berkenaan untuk tempoh 2022-2023, kerangka hasil kerja WHO dan isu berkaitan kesihatan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030.
— BERNAMA