
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Situasi COVID-19 di negara ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan 9,020 kes baharu dengan 98 kematian semalam angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan pada Januari tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 558,534 kes manakala jumlah kumulatif kematian ialah 2,650 orang.
“Kes aktif kebolehjangkitan kini ialah 76,218 kes manakala kes sembuh pula mencatat 5,527.
“844 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 430 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 semalam.
Beliau berkata Selangor kekal menjadi negeri penyumbang kes harian tertinggi dengan 2,836 kes diikuti Kelantan (907), Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789) dan Sarawak (726).
Johor dan Kedah masing-masing merekodkan 468 kes diikuti Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan 19 kes di Perlis.
Dr Noor Hisham berkata kematian pula melibatkan 27 kes di Selangor, masing-masing 14 kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing lapan kes di Kedah dan Negeri Sembilan serta masing-masing lima kes di Pulau Pinang dan Sarawak.
Sabah dan Terengganu juga masing-masing merekodkan empat kematian hari ini, tiga kes di Pahang, masing-masing dua kes di Kelantan dan Melaka serta masing-masing satu kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
— BERNAMA