
Laporan/foto: Adawiyah Othman (Marang)
MARANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Payong, di sini yang merupakan PPV Pertama di Terengganu semalam telah menerima seramai 243 orang pendaftar vaksin dos kedua secara pandu lalu.
PPV pandu lalu ini adalah inisiatif kerajaan negeri yang menyahut hasrat kerajaan bagi memudahkan dan menggalakkan orang ramai untuk segera mendaftar dan bersedia menerima vaksin secara sukarela sekali gus menjaga pergerakan orang awam yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zahari Md Azahar, berkata hasrat kerajaan negeri kini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pasukan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Marang bersama-sama Pejabat Daerah Marang yang bertungkus-lumus menjayakan PPV pandu lalu di samping PPV sedia ada yang beroperasi sejak dua minggu yang lalu.
“Saya berpuas hati dengan keadaan dan persekitaran PPV Bukit Payong kerana persekitaran yang terancang dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) telah memudahkan penerima vaksin untuk datang dan mendapatkan dos mereka mengikut temujanji ditetapkan,” katanya ketika memantau proses vaksinasi berkenaan di PPV tersebut, di sini semalam.
Seawal 9 pagi, para penerima vaksin dos kedua telah pun beratur dalam kenderaan masing-masing mengikut waktu janji temu yang ditetapkan.
Penerima vaksin dos kedua secara pandu lalu, Abdul Bahrein Sulaiman, 61, berkata suntikan dos kali kedua ini memudahkan urusannya sebagai warga emas kerana tidak mengambil masa yang terlalu lama sebaliknya hanya menunggu giliran di dalam kenderaan anaknya dan tidak sampai 20 minit semua urusan dapat diselesaikan.
“Selepas disuntik, saya diminta untuk berehat dahulu di kawasan tempat letak kereta yang dikhaskan bagi memastikan keadaan tubuh badan selesa seterusnya membuat pemeriksaan tekanan darah sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” kata beliau setelah divaksin.
Menurut pakar Fisioterapi Klinik Kesihatan Bukit Payong Suryani Yusoff, yang turut menjaga kaunter saringan janji temu ini memaklumkan semua penerima vaksin secara pandu lalu ini mesti melalui lima peringkat untuk memenuhi dos kedua iaitu pendaftaran melalui sistem MyVas, suntikan dos kedua, mengimbas kod Quick Response (QR) kehadiran, penerangan oleh petugas kesihatan selepas menerima suntikan dan pemeriksaan tekanan darah sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
-ii-