
Laporan/foto: Nur Arinnica Arif/Nurulain Mohd Sham (Kluang)
KLUANG, 9 Jul (Malaysiaaktif) – program Komuniti@PMR Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Kempen Jom Daftar Vaksin anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kluang dan sukarelawan daripada Southern Volunteers (SV) Daerah Kluang bergerak ke Felda Kahang Barat bagi membantu proses pendaftaran penerima vaksin.
Menurut Penyelaras SV Semberong Mohd Saim Paiman, SV merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun lepas bagi menerajui aktiviti sukarelawan yang memainkan peranan dengan bergerak daripada satu kawasan ke satu kawasan bagi memastikan masyarakat setempat mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.
“Majoriti masyarakat di sini memberikan kerjasama yang baik ketika proses pendaftaran dijalankan namun ada juga yang tidak membuka pintu rumah kerana menggangap kami sebagai jurujual.
“Hebahan yang dibuat oleh unit bergerak Pejabat Penerangan Daerah sangat membantu dalam menyebarkan tentang misi dan objektif kehadiran pasukan kami ke sini,” katanya ketika ditemui pada Kempen Jom Daftar Vaksin di Felda Kahang Barat, di sini semalam.
Tambah beliau, mesej hebahan kepada penduduk dilaksanakan dengan mengerakkan dua buah unit bergerak Info on Wheels (IoW) Pejabat Penerangan Daerah manakala pasukan SV pula meneruskan sesi lawatan dari rumah ke rumah.
“Pihak kami mengadakan program seumpama ini berikutan timbulnya situasi di mana terdapat penduduk yang mengakui telah mendaftar vaksin namun apabila semakan dibuat tiada rekod yang ditemui.
“Oleh sebab itu, kami menggerakkan misi ini bagi memastikan para penduduk dapat mendaftar semula secara terus melalui program ini,” ujarnya.
Seorang penduduk yang ditemui, Rosman Ahmar, 65, berkata inisiatif seumpama ini yang dilakukan oleh pihak kerajaan merupakan langkah terbaik bagi memastikan golongan warga emas dan mereka yang tidak mempunyai kemudahan dapat mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Pada mulanya, isteri saya agak ragu-ragu untuk mendaftar kerana beliau mempunyai penyakit kecing manis, darah tinggi dan kolesterol.
“Namun apabila memikirkan keberkesanan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga beliau tidak menolak untuk menerima suntikan tersebut,” jelasnya.
Sarka Kartwi, 66, sewaktu ditemui memaklumkan beliau telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin yang mana pendaftaran telah dibuat oleh anaknya secara dalam talian.
“Saya tidak merasa takut untuk menerima suntikan vaksin, tiada sebab untuk takut walaupun saya mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Ini merupakan langkah terbaik untuk keselamatan kita, tidak perlu takut dengan pelbagai khabar angin mengenai kesan sampingan selepas menerima suntikan,” katanya.
Turut terlibat dalam program ini, Pejabat Daerah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang dan Angkatan Pertahanan Awam.
-NI-