
Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/MedKom
JOHOR BAHRU, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menerima sumbangan sebanyak RM300,000 dan enam unit mesin Elektrokardiogram (EKG) daripada syarikat Tropicana Corporation Berhad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana Foundation Lee Han Ming, sumbangan ini merupakan komitmen syarikat untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan negeri bagi memerangi pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
“Tropicana Foundation telah menyumbang RM300,000 kepada Tabung Bencana Negeri Johor dan enam unit mesin EKG bernilai RM80,000 kepada JKNJ bagi membantu gerak kerja merawat para pesakit yang memerlukannya.

Menteri Besar melihat mesin EKG yang di sumbangkan oleh syarikat Tropicana Foundation kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah.
“Kami berharap semua pihak dapat bersatu padu dalam memerangi pandemik COVID-19 ini agar kita semua dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad telah menerima sumbangan berkenaan daripada Ketua Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Berhad Lee Han Ming.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr. Aman Rabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Mohd. Noh Ibrahim, Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dr. Mokhtar Pungut@Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan Tropicana Berhad (Zon Selatan) Karen Lee.
-NI-