
Laporan/foto: Rahman Ishak/Tangkap lelayar IGEM 2021
PUTRAJAYA, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2021 menyasarkan penglibatan 30 ribu pengunjung, tiga ratus peserta pameran dan menjana lebih lima bilion ringgit peluang perniagaan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan IGEM pada tahun ini diadakan selama enam bulan bermula pada 1hb Julai yang lalu.
“Ini adalah masa terbaik untuk menggandakan usaha menerokai potensi teknologi hijau khususnya dalam merajah perancangan hala tuju, dasar dan inisiatif baharu.
Bertemakan “Pentakrifan Semula Kelestarian”, IGEM 2021 ini diharapkan dapat memberi impak dalam menangani perubahan iklim sejajar dengan perkembangan inovasi dan teknologi terkini,” katanya ketika merasmikan program tersebut secara dalam talian, di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, tema berbeza ditetapkan setiap bulan bagi memberi fokus dalam bidang-bidang tertentu.
“Pada bulan ini, IGEM bertemakan teknologi hijau sebagai permulaan, disusuli dengan Tema Air pada bulan Ogos, seterusnya Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (September), Kelestarian (Oktober), Pembiayaan Hijau (November) dan Tenaga dan e-Mobiliti (Disember).
“Diharapkan pendekatan baharu IGEM pada tahun ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada para peserta untuk meneroka peluang perniagaan dan pasaran baharu serta menjalin kerjasama yang lebih strategic,” katanya.
Muhyiddin menjelaskan, IGEM juga menawarkan platform kepada semua peserta untuk menyertai lebih lima puluh agenda persidangan, webinar dan pameran.
“Kami turut menampilkan ramai peneraju industri dan pakar bidang di peringkat nasional dan antarabangsa yang akan berkongsi pengetahuan dalam segmen-segmen menarik seperti ekonomi kitaran, ekonomi hidrogen, kelestarian tenaga dan analisis data raya,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata IGEM 2021 diadakan dalam tempoh enam bulan ini bertujuan untuk memberi peluang yang lebih besar kepada pempamer dan peserta persidangan serta rakan perniagaan untuk meneroka peluang perniagaan dengan lebih meluas.
“Saya yakin IGEM 2021 akan dapat memainkan peranan secara berkesan serta memenuhi mandat KASA dalam menerajui usaha kelestarian alam sekitar dan air, seterusnya mencetus inspirasi untuk melakukan tindakan yang akan mengurangkan impak perubahan iklim di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.