
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
RANAU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat melalui program vaksinasi COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha sedang giat dijalankan dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada program vaksinasi.
“Oleh itu, masyarakat di pedalaman perlu mengambil peluang melalui gerakan program Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.
“Masyarakat juga disarankan untuk tidak mudah mempercayai berita yang tidak sahih yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab serta perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun berada di kawasan kampung yang terpencil bagi memutuskan penularan wabak COVID-19 ini,” katanya pada Program CITF Daftar dan Vaksin daerah Ranau di Sekolah Kebangsaan Kawiyan, di sini baru-baru ini.
Dalam program sama, Pegawai Kesihatan Daerah Ranau Dr. Fiona Vincent Bizini, menjelaskan sebanyak 200 dos suntikan vaksin Sinovac disediakan bagi program tersebut.
“Berikutan keadaan jalan yang kurang memuaskan pasukan CITF memulakan perjalanan seawal enam pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kampung tersebut yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Pekan Ranau.
“Cabaran kami hari ini adalah keadaan jalan yang berbukit, tidak berturap dan licin yang menyukarkan pergerakan untuk masuk dan keluar ke perkampungan ini.
“Namun semua petugas berasa gembira apabila ketibaan pasukan CITF Ranau disambut baik dengan kehadiran penduduk yang amat memberangsangkan sehinggalah program berakhir,” jelasnya.
-RI