Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kemudahan ATM BSN Permudah Urusan Perbankan Penduduk Sook

By 23 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jennifer Stanis (Kota Kinabalu)/ Pejabat Timbalan Menteri JPM

KENINGAU, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Penantian penduduk di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan berakhir apabila kiosk mesin pengeluaran wang (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata perkhidmatan perbankan tersebut dapat meringankan bebanan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kewujudan perkhidmatan ini amat penting dan dinanti-nantikan oleh penduduk sekitar berdasarkan pertambahan populasi penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di Daerah Kecil Sook.

“Sebelum ini, penduduk sekitar terpaksa pergi ke Daerah Keningau untuk melakukan urusan perbankan, namun kini penduduk di Daerah Kecil Sook dan juga di Nabawan dapat menjimatkan masa dan tenaga untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut,” katanya yang ditemui sempena pengoperasian mesin tersebut, di sini semalam.

Tambah Arthur, selain itu ia turut memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sabah Prihatin dari kerajaan persekutuan dan negeri kerana mereka tidak perlu lagi ke Keningau untuk mendapatkan akses perbankan bagi mengeluarkan wang bantuan.

“Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan di BSN Keningau tetapi juga memudahkan pengeluaran wang oleh penduduk dan secara langsung dapat menjana ekonomi setempat dengan peningkatan aliran tunai,” ujarnya.

Selain BSN, Pekan Sook juga bakal mempunyai sebuah mesin ATM Bank Rakyat di Stesen Minyak Petron.

Menurut Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan pada masa kini kerja-kerja pembinaan kiosk berkenaan sedang giat dilaksanakan dan dijangka dapat beroperasi pada hujung tahun ini.

“Sebagai perancangan untuk jangka masa panjang, sekiranya transaksi kewangan di Pekan Kecil Sook semakin meningkat dan menunjukkan bahawa terdapat keperluan bagi mewujudkan cawangan bank, kerajaan akan berusaha untuk melaksanakannya,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Paul F. Isidore, ketika ditemui pemberita berkata, dengan adanya mesin ATM ini keperluan asas perbankan dilakukan oleh penduduk tanpa perlu ke Daerah Keningau.

“Penduduk juga dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan ini dan sentiasa mematuhi SOP dengan mengamalkan penjarakan fizikal apabila melakukan transaksi,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda