
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
SELAMA, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan barangan dapur daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Majlis Belia Daerah Selama bagi meringankan beban mereka akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin, berkata Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama sentiasa mengalu-alukan pihak NGO yang turut sama menyertai misi memberi bantuan kepada golongan asnaf di sekitar daerah ini.
“Idea memberi sumbangan kepada golongan asnaf ini terhasil daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang ingin menyantuni golongan yang kurang berkemampuan akibat pandemik ini.
“Terdapat 10 buah rumah penduduk dari kawasan Kampung Ulu Mengkuang, Kampung Baru Batu 3 dan Taman Sentosa yang menerima bantuan tersebut selepas latar belakang mereka diselidik dan layak untuk menerima sumbangan ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Penghulu Mukim Selama, di sini semalam.

Mohd Akmal (duduk kiri) sedang menyantuni salah seorang warga emas yang menerima bantuan di Taman Sentosa.
Tambah Mohd Akmal, secara tidak langsung Pusat Khidmat ADUN Selama juga turut terlibat dalam menjayakan misi memberi bantuan kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan.
“Pemberian bantuan seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi mengenal pasti sebanyak mungkin bilangan golongan ini yang tercicir dan masih belum menerima sebarang bantuan,” ujarnya.
Menurut Mohd Akmal, program bantuan Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 turut dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Selama dan Hulu Ijok yang dikendalikan oleh ROS Perak.

Sesi pendaftaran vaksinasi oleh wakil ROS Perak kepada penduduk di sekitar Pekan Selama di hadapan bangunan Agrobank Selama.
“Sasaran mereka untuk mendapatkan pendaftaran vaksinasi pada hari ini adalah sebanyak 300 hingga 500 orang.
“Ini merupakan kali kelima program ini dilaksanakan di daerah Selama dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.