
Laporan/foto: Zayana Zahira/Rohani Saad (Kuantan)
KUANTAN, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Aksi ‘Minnie Mouse’ dan ‘Spiderman’ menarik perhatian ramai apabila kelibat kedua figura ini muncul pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di PPRS Pinggiran Putra 3 baru-baru ini.
Menurut Pegawai Daerah Kuantan Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, program ini memfokuskan kawasan panas penularan COVID-19 di daerah Kuantan.
“Seramai 960 penduduk menerima suntikan vaksin yang dijalankan secara berperingkat selama dua hari bermula 26 Julai.
“Sambutan yang diterima juga sangat baik di mana kesemua senarai nama yang kita perolehi pada peringkat awal bersetuju untuk menerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau program MOVAK tersebut, di sini.
Beliau turut berharap agar penduduk daerah Kuantan supaya mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk melindungi diri kita dan juga semua masyarakat terutama di daerah Kuantan.
“Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Kuantan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Jabatan Perpaduan Negeri Pahang dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.
-ZS-