
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Kartina Saruni (Tangkak)
TANGKAK, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Syarikat Leong Hup International Berhad dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri bagi mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin di daerah ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Samsolbari Jamali, berkata PPV ini merupakan kolaborasi antara kerajaan dan pihak swasta yang pertama di Malaysia dijayakan untuk manfaat bersama.
“Untuk permulaan PPV Industri ini akan menyuntik kira-kira 1,422 orang penerima vaksin untuk suntikan dos pertama dari 4,150 orang penerima keseluruhannya.
“Pemberian vaksin ini yang merupakan program perintis pertama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dikhususkan kepada kakitangan syarikat tersebut,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini semalam.
Pengerusi Leong Hup International Tan Sri Lau Tuang Nguang Francis, menghargai usaha kerajaan negeri, MAFI dan Pengawai Daerah Tangkak di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan pemberian suntikan vaksin kepada kakitangan syarikatnya.
“Tumpuan awal diberikan kepada kakitangan tempatan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada kakitangan warga asing yang bernaung di bawah syarikat ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap dengan pemberian vaksin ini akan dapat melindungi kakitangannya serta masyarakat dalam usaha menangani dan memerangi COVID-19.
Pada program tersebut, Samsolbari turut meninjau proses pemberian vaksin kepada pekerja sektor pertanian syarikat tersebut dan anak syarikatnya yang diselaraskan dengan baik dan sempurna termasuk menyediakan beberapa buah bas yang dijadikan unit bergerak bagi memudahkan pergerakan kakitangan untuk menerima suntikan vaksin.
-NI-