
PUTRAJAYA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Jadestone Energy Holdings Ltd, subsidiari Jadestone Energy plc dari Singapura telah menjadi pelabur huluan yang terkini di Malaysia melalui pengambilalihan SapuraOMV Upstream (PM) Inc (SapuraOMV PM), anak syarikat Sapura OMV Upstream Sdn Bhd.
SapuraOMV PM mempunyai kepentingan penglibatan dalam menghasilkan aset yang terletak di luar pantai Semenanjung Malaysia iaitu kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) AAKBNLP, PM318, PM323 dan PM329.
Syarikat tersebut adalah operator PSC PM323 dan PM329. Jadestone disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London serta memiliki pengalaman pengendalian dalam medan minyak dan gas merentasi rantau Asia Pasifik.
“Kami mengalu-alukan kemunculan sulung Jadestone di sektor huluan Malaysia. Ini adalah bukti bahawa negara ini tetap menarik dengan tawaran pelbagai peluang pelaburan untuk memenuhi selera dan kemampuan pelabur yang berbeza.
“Pemilikan aset yang bersesuaian di tangan pemain yang tepat akan membuka potensi sepenuhnya, oleh itu, memaksimumkan pulangan bagi kedua-dua pelabur huluan kami dan Petronas sebagai penjaga sumber hidrokarbon di Malaysia,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan dalam satu kenyataan.
Petronas percaya pengalaman dan kepakaran Jadestone dalam meningkatkan jangka hayat aset, digabungkan dengan fokusnya untuk menambah pengeluaran serta pengoptimuman kos, akan melonjakkan margin sambil memanjangkan jangka hayat ekonomi di luar pesisir, seterusnya, menyumbang kepada kelestarian keseluruhan pengeluaran minyak dan gas negara.
Sebelum ini, SapuraOMV dan Jadestone telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (SPA) pada 30 April 2021.
Syarat-syarat itu merangkumi kelulusan peraturan dari Petronas yang diberikan pada 15 Julai 2021. Pemerolehan tersebut diselesaikan pada 1 Ogos 2021.
Petronas dalam usaha membuka sepenuhnya potensi sumber hidrokarbon Malaysia sedang menganjurkan Pusingan Tawaran Malaysia (MBR) 2021 yang bertemakan “Kembangkan Portfolio Tenaga Anda Bersama Kami”.
MBR 2021 menawarkan 13 peluang baharu di lembah produktif Malaysia, disertai dengan terma fiskal dan bukan fiskal yang dipertingkatkan dalam PSC seperti Keberuntungan Dipertingkatkan (EPT) untuk blok air cetek, Aset Hayat Lewat (LLA) dan Aset Medan Kecil (SFA) , yang dirancang bagi memadankan risiko dan ganjaran pelaburan dengan jenis aset yang ada.
— BERNAMA