
PUTRAJAYA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2021 bagi Malaysia pada 4.6 peratus dengan mengambil kira perkembangan semasa dan juga pelan-pelan yang boleh dilaksanakan apabila ekonomi dibuka semula pada masa depan.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan semalam berkata sekatan ekonomi, pergerakan rakyat dan aktiviti sosial yang ketat ketika ini dilihat sebagai hanya sementara sahaja kerana ia menjangka ekonomi Malaysia akan menyambung semula pemulihannya apabila keadaan kesihatan awam semakin bertambah baik.
“Meskipun usaha membendung pandemik masih berterusan, ada beberapa perkembangan positif seperti kadar vaksinasi yang tinggi yang akan meningkatkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang suku keempat 2021,” katanya.
Selain itu, MIDF Research berkata banyak negeri telah diletakkan di bawah fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala beberapa sekatan dilonggarkan yang membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka semula dan meningkatkan aktiviti mereka.
Pemulihan ekonomi juga akan disokong oleh dasar monetari akomodatif serta peningkatan perbelanjaan fiskal apabila lebih banyak program di bawah pakej rangsangan fiskal dan Belanjawan 2021 disalur dan dilaksanakan.
Bagaimanapun, ia berkata, sentimen yang lemah akan terus menjejaskan perbelanjaan domestik, manakala pengeluaran pembuatan dan prestasi eksport dijangka terkesan terutamanya dalam separuh pertama Julai 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di lokaliti tertentu di Selangor dan Kuala Lumpur.
— BERNAMA