
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)/Aqilah Mazlan (Putrajaya)
SERDANG, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor mengedarkan Jalur Gemilang kepada agensi dan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0, bagi menggelorakan Sambutan Bulan Kebangsaan.
Pengarah JaPen Selangor Ali Suhaili, berkata aktiviti tersebut sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
“Penyerahan Jalur Gemilang tersebut bertujuan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini di pusat kuarantin ini.

Pengarah Japen Selangor (kanan) menyampaikan jalur gemilang kepada petugas kesihatan PKRC bersepadu MAEPS 2.0 yang terlibat.
“Petugas PKRC bersepadu MAEPS 2.0 yang terlibat akan menghias Jalur Gemilang mengikut agensi masing-masing.
“Diharap ia dapat membakar semangat petugas barisan hadapan untuk terus berkhidmat kepada negara dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di PKRC tersebut, di sini semalam.
Majlis ringkas tersebut menyaksikan Ali Suhaili menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pengarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim.

Dr Shahabudin turut bersama memasang jalur gemilang bagi menghiasi tempat kerja PKRC bersepadu MAEPS 2.0.
Sementara itu Dr Shahabuddin, berkata suasana Jalur Gemilang di sekitar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 sangat diperlukan dan mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan petugas barisan hadapan sempena sambutan kemerdekaan kali ini.
“Para petugas gembira dan terus bersemangat walaupun menghadapi tugasan berat menguruskan pesakit COVID-19 di sini.
“Terima kasih Japen Selangor di atas penyerahan Jalur Gemilang dan berharap ia terus berkibar demi kebanggaan negara bangsa,” ujarnya.

Jalur gemilang turut juga diedarkan kepada agensi dan petugas keselamatan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.
-RI