Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Saya Masih Dapat Sokongan, Peletakan Jawatan Tidak Berbangkit

By 4 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara berkenaan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis menghadap di Istana Negara, pagi ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya menerusi Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin berkata beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.

Sehubungan itu, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda