Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

PPV MEGA Amanjaya Sports Arena Sedia Beroperasi Esok

By 5 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Arena Sungai Petani sebuah PPV Integrasi terbesar di akan mula beroperasi esok (6 Ogos) bagi menampung keperluan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pegawai Daerah Kuala Muda Abdullah Hasim, memaklumkan seramai 1500 penerima vaksin akan menerima suntikan dos pertama mereka pada hari pertama pengoperasiannya dan akan ditingkatkan kepada 5000 dos suntikan apabila beroperasi sepenuhnya nanti.

“Pengoperasian PPV Mega ini adalah kerjasama di antara Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Kuala Muda bersama Protect Health Corporation Sdn. Bhd melalui penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) yang dilantik iaitu Murshida Medical Centre serta Poliklinik An-Nisa.

“Setakat hari ini, jumlah penerima vaksin yang berusia 18 tahun keatas di daerah Kuala Muda telah mencapai 32.3% (124,506 individu) bagi suntikan dos pertama, manakala 19% (68,958 individu ) telah selesai menerima dos kedua,” katanya ketika ditemui di Amanjaya Sports Arena, di sini semalam.

Menurut Abdullah, setakat hari ini jumlah penduduk yang sudah mendaftar melalui MySejahtera adalah seramai 324,521 (89.42%) daripada keseluruhan 362,900 orang penduduk di Kuala Muda.

“Jumlah pemberian dos vaksin akan dipertingkatkan dari hari ke hari sehingga mencapai jumlah maksimum 5000 dos sehari yang akan diberikan kepada penerima vaksin yang telah membuat pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera sahaja serta golongan warga emas.

“Bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada seluruh penduduk, maka kewujudan PPV Mega ini diharap dapat mencapai matlamat 80%  imuniti kelompok dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Ini adalah kerana Daerah Kuala Muda mencatat peningkatan kes positif COVID-19 yang meningkat saban hari dan melalui fasiliti yang luas serta strategik yang disediakan oleh Amanjaya Sports Arena, maka kapasiti 5000 penerima dos sehari akan dicapai sebagaimana yang diinginkan,” katanya.

Jelasnya lagi, CITF Daerah Kuala Muda juga mendapat bantuan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahagian trafik serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi tujuan memudahkan pergerakan orang ramai yang hadir ke PPV Mega sepanjang proses pemberian vaksinasi berlangsung.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah melalui Menteri Besar yang telah memilih Daerah Kuala Muda sebagai tempat pengoperasian PPV Mega terbesar dalam negeri dan saya amat terharu dengan keprihatinan Menteri Besar dalam memastikan PICK berjalan lancar.

Tinggalkan komen anda