Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MDKS Kini Bertukar Status kepada Majlis Perbandaran

By 7 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kini telah bertukar status kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau amat berbesar hati atas perkenan Sultan Selangor untuk majlis bersejarah yang telah lama dinantikan ini.

“Saya percaya dengan pengalaman dan kepimpinan Yang Dipertuan Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat, seluruh warga kerja akan lebih bersemangat untuk terus memacu kegemilangan ini pada masa depan.

“Ucapan tahniah kepada semua kumpulan pengurusan dan warga kerja MDKS di atas usaha dan perjuangan yang dilakukan, akhirnya status perbandaran kini menjadi milik kalian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sempena Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Selangor yang diadakan secara dalam talian melalui Facebook dan Youtube hari ini.

Ucapan aluan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Ucapan aluan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.

Menurut beliau, Kuala Selangor menjadi tumpuan dengan produk ekopelancongan dan terlibat dalam hasrat pembangunan kerajaan negeri bagi pelaksanaan gugusan di anjung utara Selangor iaitu bagi kluster pertanian dan pelancongan.

“MPKS haruslah mengorak langkah memacu imej baik industri pelancongan supaya dapat meningkatkan tahap keselamatan dan perkhidmatan produk pelancongan bagi memenuhi citarasa pelancong agar sekaligus membantu menaikkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan tanggungjawab MPKS sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) sememangnya lebih berat kerana melibatkan perkhidmatan terus kepada rakyat.

“Perkhidmatan awam perlu menjadi jentera perkhidmatan dinamik merentasi sempadan serta melangkaui ekspektasi pemikiran yang biasa yang mana peranan dan fungsi dilaksanakan oleh perkhidmatan awam perlu seiring dengan perubahan di peringkat domestik mahupun global.

“Strategi pengurusan pentadbiran yang berkesan melalui gabungan kepimpinan tertinggi yang saling memberi dalam karakter dan kekuatan pasukan, para pegawai dan kakitangan majlis perbandaran akan menjadi ramuan dalam menguatkan lagi pasukan kerajaan dalam mentadbir negeri Selangor.

“Selain merangka pembangunan dan menangani isu setempat, agenda perbandaran yang berlaku harus dilihat dengan perspektif yang bersifat holistik dengan aras dan darjah kelestarian seimbang bersama-sama dengan sektor ekonomi, sosial mahupun alam sekitar,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda