
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SHAH ALAM, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan tidak berlaku pencemaran air di Sungai Langat selepas melakukan siasatan dan persampelan kualiti air di kolam takungan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, LUAS berkata tindakan segera diambil susulan pihaknya menerima aduan pencemaran di Sungai Langat melibatkan sebuah premis kilang kertas kitar semula pada 26 April lalu.
“Indeks Kualiti Air (IKA) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang di hulu premis tersebut juga dalam keadaan baik iaitu Kelas II (April 2021) dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.
“Manakala siasatan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) juga mendapati pelepasan efluen dari premis tersebut tidak memasuki kolam takungan.
“Pemeriksaan lanjut oleh pihak JAS pada 22 Jun mendapati pelepasan efluen perindustrian premis tersebut mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditetapkan,” memetik kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut, JAS telah melakukan sekurang-kurangnya tiga kali pemeriksaan terhadap premis berkenaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
“Berdasarkan rekod JAS, IKA Sungai Langat yang terkini pada Julai 2021 menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding pada tahun 2020 (IKA : 72).
“Hasil siasatan dan penemuan ini telah dibincangkan bersama JAS dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta wakil daripada Gabungan Lestari Alam Kuala Langat (GLAM).
“Justeru, kualiti sumber air serta aktiviti persekitaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan menjejaskan muka sauk bekalan air akan dipantau dari semasa ke semasa oleh LUAS, JAS dan pihak-pihak berkuasa yang terlibat,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, pihaknya mengambil maklum laporan sebuah portal berita semalam mengenai penemuan dan aktiviti lain di lokasi sekitar yang berpotensi berlaku pencemaran serta penurunan kualiti air Sungai Langat.
“LUAS akan meneliti lanjut perkara ini dan akan bersama pihak berkenaan untuk memastikan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar yang kondusif,
“LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan dalam Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999,” menurut kenyataan itu.
-RI