
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri memutuskan untuk menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan jenazah yang terbabit dengan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, sambil mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, perkara ini dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga waris.
“Seperti yang kita sedia maklum, pengurusan jenazah yang berkaitan dengan COVID-19 akan diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital-hospital yang terbabit dengan menggunakan khidmat badan-badan sukarela.
“Badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengebumian selain menyediakan kain kafan, keranda dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk para petugas,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan, semalam.
Tambah beliau, melalui keputusan yang dibuat MMK Negeri semalam, badan-badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran tersebut daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan.
“Mesyuarat MMK juga memutuskan, sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah COVID-19 ditubuhkan dan dikendalikan oleh JAIP,” katanya.
Beliau berkata, sebagai permulaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas tersebut.
“Di samping itu, pihak JAIP juga akan meminta semua masjid di negeri ini untuk turut membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masjid masing-masing untuk turut disalurkan ke tabung bantuan khas ini.
“Saya berharap dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri ini akan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak bagi menjayakannya,” katanya lagi.
-AH-