
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Khairul Nizam Mat Yunus (Negeri Sembilan)
NILAI, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Seremban menganjurkan Program Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Seremban 2021 bersama Pesara Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 bagi menghargai peranan petugas hadapan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, berkata program ini secara tidak langsung menyantuni pesara polis yang telah banyak berjasa kepada negara serta meneruskan kerjasama erat yang sedia terjalin antara Pejabat Penerangan Daerah Seremban dan IPD Nilai.
“Menjaga keamanan menuntut pengorbanan yang sangat tinggi dan jasa anggota polis wajar dihargai bukan sahaja semasa perkhidmatan malah sepanjang hayat.
“Sumbangan pesara polis dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta sepanjang tempoh perkhidmatan mereka tidak boleh dinafikan dan seharusnya diberi penghargaan,” ujarnya yang ditemui di IPD Nilai, di sini semalam.
Sementara itu, 15 pesara polis diraikan dengan menerima sumbangan barangan keperluan harian yang merupakan sumbangan prihatin kepada pesara berkenaan lebih-lebih lagi negara masih dibelenggu pandemik COVID-19 dan mereka juga turut menerima Jalur Gemilang yang diserahkan sendiri oleh Pengarah Penerangan Negeri Sembilan.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman.
-FF