
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Seluruh lapisan masyarakat diseru menunjukkan solidariti kepada petugas barisan hadapan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Selangor Ali Suhaili, berkata pengorbanan dan komitmen golongan berkenaan dalam memerangi pandemik COVID-19 ketika ini seumpama perjuangan memerdekakan negara ketika zaman penjajah.
“Jika dahulu pejuang negara berkorban nyawa untuk membebaskan negara ini daripada penjajah dan mencapai kemerdekaan.

(Tiga dari kiri) Ali menyerahkan simbolik Jalur Gemilang kepada wakil PPV UniKL Gombak sempena program Sepakat@Komuniti.
“Hari ini para petugas barisan hadapan turut berhadapan dengan situasi itu dalam memerangi pandemik ini.
“Marilah kita memasang Jalur Gemilang di rumah-rumah dan premis-premis bagi menunjukkan solidariti kita dan menzahirkan rasa cinta kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir di Program Sepakat@Komuniti parlimen Gombak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UniKL, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ali berkata program tersebut dan program Info on Wheel (IoW) telah diadakan di seluruh Selangor merangkumi 22 parlimen.
“Antara pengisiannya seperti mengedarkan Jalur Gemilang kepada PPV, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat.
“Ianya diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu tiada perhimpunan dan memastikan penjarakan fizikal diamalkan,” jelasnya.
-RI