
Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Alor Gajah)/FB JAPERUN Tanjung Bidara
MASJID TANAH, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Perlaksanaan Program Mobilisasi Komuniti (MOVAK) dapat membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya penduduk luar bandar sekali gus dapat meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Wira Md. Rawi Mahmud, berkata dijangkakan 2000 penduduk di DUN Tanjung Bidara dan sekitar Masjid Tanah akan menerima vaksin, untuk semalam sahaja seramai 500 orang penerima hadir untuk mendapatkan vaksin.
“Program MOVAK ini merupakan Anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan dan Japerun Tanjung Bidara dan memanfaatkan seramai 2000 penerima vaksin.
“Program ini akan lebih memberi tumpuan kepada penduduk kampung yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar melalui MySejahtera.
“Kita amat bersyukur kerana program ini dibawa ke Tanjung Bidara dan sedikit sebanyak memberi kemudahan kepada penduduk kampung yang menghadapi kesukaran seperti ketiadaan pengangkutan dan sebagainya untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujar beliau ketika ditemui di Dewan JAPERUN Tanjung Bidara, di sini semalam.
-FF