
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Alfian Syamsuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 300 pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz Bandar Sierra, tampil berbeza menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat sekolah itu secara maya.
Guru Besarnya Salman Mohamad Amin, berkata para pelajar sekolah berkenaan nyata teruja dapat meraikan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 walaupun disambut dalam suasana berbeza.
“Bertemakan Malaysia Prihatin, sambutan yang diadakan meriah dengan penglibatan pelajar dan guru.
“Program ini adalah rentetan aktiviti Bulan kebangsaan yang diadakan pada peringkat sekolah bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan Negara ke-64 agar dapat menanam semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar meskipun dalam keadaan pandemik.
“Sambutan berkenaan bukan sahaja disertai oleh para pelajar tetapi juga dapat disaksikan oleh ibu bapa dan penjaga melalui siaran langsung di laman rasmi Facebook sekolah,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.
Tambah Salman, bulan kemerdekaan ini penting kepada generasi baharu bagi menyemai dan menjiwai semangat patriotik sejak di bangku sekolah.
“Sambutan kali ini hanya diadakan melalui dalam talian mengikuti kelas masing-masing dan pelbagai acara telah diadakan sepanjang minggu lalu termasuk aktiviti mewarna, swafoto, kuiz, melukis, bercerita, puisi dan ceramah kemerdekaan.
“Meskipun Bulan Kebangsaan tahun ini disambut secara norma baharu tanpa perhimpunan namun acara pertandingan tetap menerima sambutan yang menggalakkan dengan pembabitan semua murid,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang memberi sokongan dan membantu melakukan persiapan terbaik untuk anak mereka menyertai setiap kategori yang dipertandingkan dalam merancakkan lagi kemeriahan sambutan ini.
“Program ini bukan sekadar mengimbau kembali perjalanan sejarah kemerdekaan tetapi menitik beratkan pengisian program agar dapat menanam semangat jati diri yang kental dalam kalangan generasi pelapis negara,” katanya lagi.
-RI