
Laporan/foto: Harman Mohammad Khalid/Syaiful Harif Adnan (WPKL)
KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2021
(Malaysiaaktif) – Seramai 30 orang penduduk di Parlimen Cheras menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Merdeka @Komuniti.
Inisiatif sumbangan bakul makanan itu merupakan program kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon Parlimen Cheras dan Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JaPen WPKLP).
Pengerusinya John Hon Su Kuan, berkata program kerjasama dengan badan kerajaan seperti itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 yang diraikan bersama komuniti setempat.
“Peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penerangan serta komuniti setempat sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat untuk terus peka dengan keadaan sekeliling.
“Walaupun tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelum ini, masing-masing tetap menunjukkan semangat patriotik yang masih utuh,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Dewan Masyarakat Taman Segar, di sini hari ini.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, JaPen WPKLP, Maria Che Mat Nawi@Muhammad Nawi.
Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Cheras dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
-ZS-