
Laporan/foto: Herman Hamid (WPKL)
KUALA LUMPUR , 4 Sep (Malaysiaaktif) – Orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan biarpun kelonggaran telah diberikan termasuk pembukaan beberapa sektor ekonomi kepada umum.
Penasihat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pematuhan SOP secara berterusan dalam kalangan masyarakat perlu sekalipun sudah menerima suntikan vaksin.
“Walaupun sektor ekonomi telah dibuka, rakyat perlu mematuhi SOP yang ketat demi melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.
“Vaksin adalah perlu untuk diambil dan ia bukanlah untuk kita kebal daripada jangkitan COVID-19 tetapi sebagai perlindungan untuk mengurangkan simptom,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu menghadiri Program Merdeka@Komuniti Parlimen Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini hari ini.
Pada program tersebut, sebanyak 20 bakul makanan dan barangan keperluan disampaikan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Majlis penyerahan bantuan turut disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Lim Ann Teck.
Dalam pada itu, jelas Johari lagi, semua pihak perlu terus bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dalam komuniti.
“Pandemik COVID-19 merupakan krisis yang mencabar di mana setiap lapisan masyarakat merasai keperitan hidup terutamanya apabila Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan dan sektor informal ditutup.
“Begitupun, rakyat harus berganding bahu supaya pandemik ini berakhir,” katanya.
Turut hadir Pengerusi MPP Zon Titiwangsa, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Jelatek, Mohd Isa Bakar.
-ZS-