Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Kuala Kangsar Popular Sebagai Lokasi Filem Tempatan

By 4 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Pradeeb Kumar Velayutham & Diyana Zamri (Putrajaya) 

KUALA KANGSAR, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Terkenal sebagai Bandar Diraja, keunikan Kuala Kangsar menjadi tumpuan pembikin filem dan drama tempatan. Sejak tahun 2000, lebih 30 buah filem dan drama tempatan telah dihasilkan berlatarbelakangkan pelbagai lokasi di sini.

Ramai yang masih ingat filem Zombi Kampung Pisang arahan Mamat Khalid yang begitu popular hingga mampu melonjakkan loghat Perak dalam kalangan masyarakat. Di mana-mana sahaja terdengar frasa dan perkataan seperti “Ate, komenya pun” (Alah, kau ni pun), teman (saya), mike (awak), dan sebagainya, meniti di bibir masyarakat.

Malahan, kebanyakan filem arahan anak jati Perak yang berasal dari Ipoh itu dibuat di Kuala Kangsar. Antaranya, Lang Buana (2003),  Man Laksa (2006), Estet (2010), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit atau Hantu Kak Limah 2 (2013) dan Zombi Kilang Biskut (2014).

Menurut Pengurus Produksi Mamat Khalid, Ahmad Sufian Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Pian, era perfileman di Kuala Kangsar ini bermula dari dari tahun 80-an dengan drama bersiri “Tun Perak” yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

DSC_1463

Ahmad Sufian Ismail

 

Tambahnya, Kuala Kangsar menepati semua ciri-ciri penggambaran yang diinginkan oleh seseorang pengarah.

“Syarikat-syarikat pembuat filem atau drama di Malaysia memilih Kuala Kangsar kerana lokasi menarik dan tidak tercemar.”

“Kalau dibangunkan pun, ia dilakukan secara teratur. Ini kawasan kampung, ini kawasan pekan, ini kawasan perumahan. Jadi, kita senang bekerja untuk membuat filem. Filem ini tahu sahajalah, dia ada nak kampung, ada nak jambatan, sungai. Jadi Kuala Kangsar ni semua ada. Complete. Nak sungai, ada. Nak gunung, ada. Nak sawah, ada,” jelas Pian semasa ditemui pada Khamis di Taman Bukit Bukit Chandan semasa peggambaran drama ‘Cinta 11 Syarat’ untuk Astro Prime.

Mengimbau kenangan ketika penggambaran filem Lang Buana di sini pada 2002, Pian menceritakan betapa beliau dan krew penggambaran amat senang bekerja di bandar ini hasil kerjasama yang diberikan oleh jabatan dan agensi-agensi setempat.

“Kita membuat penggambaran di sini lebih kurang dalam 55 hari. Sepanjang penggambaran itu, kita dapat satu keistimewaan yang diberi oleh Pejabat Pentadbiran Daerah Kuala Kangsar ini dan semua jabatan-jabatan dalam daerah Kuala Kangsar ini memberi satu kerjasama. Kita nak mohon khidmat, contoh, polis ke, kita mudah memohon kerjasama daripada jabatan-jabatan termasuk Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) yang pada masa itu diterajui oleh Datuk Hasan Nawawi.”

Ditanya apa manfaat untuk Kuala Kangsar hingga dipilih sebagai lokasi, Pian berkata, “Filem Lang Buana memberi kebaikan yang begitu besar kepada Kuala Kangsar. Kita buat launching filem Lang Buana, kita bawa wartawan sampai dua bas turun ke pelancaran filem Lang Buana di tapak Arena Square. Masa itu, Arena Square tidak wujud lagi. Selepas itu, baru Datuk Hasan membangunkan tempat-tempat yang kita dah gunakan sebagai lokasi promosi filem tersebut.”

Anak watan Kuala Kangsar ini juga menyatakan bahawa, selain faktor jarak lokasi, kerjasama daripada masyarakat tempatan dan agensi kerajaan, faktor kos dan logistik pembikinan sesuatu filem atau drama juga memberi impak yang besar  dalam pemilihannya sebagai lokasi pembikinan filem.

Kuala Kangsar turut menjadi tumpuan penggiat seni tanah air yang lain, seperti Ahmad Idham, David Teo dan Liew Seng Tat. Antara filem lain yang berlatarbelakangkan Kuala Kangsar, termasuk Jangan Pandang Belakang Congkak (2009), Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (2010), dan Lelaki Harapan Dunia (2014).

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda