Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Sabah Akan Tubuh Majlis Rehabilitation OKU

By 29 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sahiman Rahman/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Rehabilitation OKU Negeri Sabah akan ditubuhkan untuk melaksanakan polisi, Akta Peraturan, program bersama pertubuhan-pertubuhan OKU untuk menjayakan aspirasi negeri inklusif untuk semua.

Menteri Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Awam dalam penubuhan Majlis Rehabilitation OKU tersebut.

“Dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya 2006 telah menegaskan bahawa OKU mempunyai hak yang sama serta mempunyai kedudukan yang setara dengan orang bukan OKU.

Frankie ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan program berkenaan.

Frankie ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan program berkenaan.

“Tidak kira dalam aspek sosial, kebudayaan, ekonomi dan politik, OKU mempunyai hak dalam segenap kehidupan bermasyarakat.

Tambah beliau, pandangan dan kepentingan OKU perlu diserap dan diurus dalam setiap agenda pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Mesej serupa juga amat jelas dalam setiap tindakan utama yang disenaraikan dalam Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025 selaras Incheon Strategy 2013-2022 dan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022.

Frankie (tiga dari kanan) menerima Pelan Induk Pengupayaan Asean 2025 daripada Rosalind.

Frankie (tiga dari kanan) menerima Pelan Induk Pengupayaan Asean 2025 daripada Rosalind.

Kata beliau, pihaknya akan meneliti syor-syor yang dikemukakan dan akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu demi pembangunan OKU di negeri Sabah.

Tambah beliau, usaha pemupukan kesedaran dalam kalangan rakyat juga perlu diteruskan untuk memperkasa komuniti OKU baik dalam bidang pendidikan, pekerjaan mahupun keusahawanan.

“Kesemua ini tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tiada jalinan usaha sama antara pihak kerajaan negeri, sektor swasta serta badan-badan bukan kerajaan, termasuk pertubuhan-pertubuhan OKU.

Frankie (duduk) merasmikan majlis Penutupan Bengkel Kesedaran Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025, Mengarus Perdanakan Hak Asasi Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019.

Frankie (duduk) merasmikan majlis Penutupan Bengkel Kesedaran Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025, Mengarus Perdanakan Hak Asasi Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian penutupan Bengkel Kesedaran Pelan Induk Pengupayaan ASEAN 2025, Mengarus Perdanakan Hak Asasi Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Sabah Tahun 2019 di sini pada Rabu.

Program yang dianjurkan bersama Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri disertai 100 orang peserta yang terdiri dari kakitangan awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs).

Turut hadir dalam program ini Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Janet Chee; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Negeri Sabah, Myrna Jimenez; Timbalan Pengarah Perancang Bandar dan Wilayah Sabah, Benedith Edmund; Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia(NCBM), Datuk Rosalind Chew; Pengurus Pusat Advokasi, Penyelidikan dan Pemerkasaan Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), Wong Yoon Loong.

ER

Tinggalkan komen anda