Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

POLISAS Ungguli Debat Piala Ketua Pengarah JPPKK

By 29 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (PORT DICKSON)/Mohd Sani Laili Maslon (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Usul “Sejarah Malaysia Perlu Ditulis Semula” telah ditolak oleh sidang dewan sekaligus menyaksikan gelaran juara berpihak kepada pasukan pembangkang dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan Pahang.

Meskipun menerima saingan sengit daripada pihak lawan, pendebat POLISAS kelihatan tenang dalam membidas tajuk debat pada kali ini sekaligus merangkul Johan Pertandingan Pidato dan Debat Piala Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (JPPKK) edisi ketujuh ini.

POLISAS yang diwakili oleh Muhd Irfan Iqbal Zahari, Nur Fatihah Mustapa, Nur Afini Zaidi dan Muhammad Fadzery Fitri Mohd Fadzil telah berjaya menumpaskan pasukan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor yang diwakili oleh Nur Yasmin Hamzan, Muhd Aiman Hafiz Azman dan Nor Syahjani Jalal dalam pusingan akhir, di sini baru-baru ini.

Mereka telah membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM 2000 beserta piala dan sijil.

Pendebat POLISAS, Muhd Irfan Iqbal Zahari berkata mereka hanyalah menyasarkan untuk ke peringkat suku akhir sahaja, namun, ternyata kejayaan dan rezeki milik mereka.

“Dengan pasukan yang baru, kami hanya cuba melakukan yang terbaik di setiap peringkat dan kejayaan ini amatlah di luar jangkaan,” ujarnya ketika ditemui.

Irfan turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik bagi pertandingan kali ini dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM100 beserta sijil dan piala.

WhatsApp Image 2019-08-27 at 12.55.04

Irfan dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

“Pada mulanya persiapan, kami menghadapi banyak cabaran tetapi disebabkan minat yang mendalam dengan yang latihan berterusan, usaha kami berbalas dengan kejayaan ini” katanya lagi selepas diumumkan sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir Debat Piala Ketua Pengarah JPPKK.

Dalam pada itu, bagi pertandingan pidato pula, Johan telah dimenangi oleh Farah Izzati Azmi dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor, kedua dimenangi oleh Meliza Muslimat (Politeknik Kota Kinabalu, Sabah) dan ketiga dimenangi oleh Muhammad Syairul Islam Basmullah (Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Selangor).

Pengerusi Majlis Pengarah Politeknik Malaysia Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata pelajar perlu didedahkan dan diasuh supaya mempunyai kemahiran yang penting bagi seseorang pekerja supaya sebati dalam diri mereka.

WhatsApp Image 2019-08-27 at 12.55.24

Barisan panel hakim di pusingan akhir.

“Aktiviti kokurikulum dan ekstra kurikulum yang dijalankan di institusi melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti tidak seharusnya dipandang sebagai tidak relevan, malah ianya adalah satu nilai tambah kepada pelajar.

Zahari turut berpesan agar pelajar tidak hanyut dengan informasi yang tular tanpa memikir secara kritis dan membuat analisa berkenaan sesuatu perkara.

“Medium media sosial kadang kala tidak memadai dan sering menyebabkan salah faham yang tiada kesudahan, oleh itu, aktiviti pidato dan debat secara bersua muka seperti ini dapat membantu membina keyakinan yang tidak ada di media sosial,” tambahnya.

Penganjuran Pertandingan Pidato dan Debat Piala Ketua Pengarah JPPKK ini merupakan satu inisiatif JPPKK melalui Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar dalam memastikan pelajar berkomunikasi dengan cara yang betul dan sebagai platform bagi mengasah kemahiran komunikasi dan pengucapan awam pelajar.

-AK

Tinggalkan komen anda