Guru Sarawak Terima 42,000 Tablet

Feature Image

Oleh: Diyana Zamri / Foto: Saiful Rahman Sabri

KUCHING, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Proses transformasi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) guru-guru di Sarawak kini bermula dengan pemberian 42,000 unit tablet kepada semua guru di seluruh Sarawak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pada hari ini, melangkah setapak lagi ke hadapan untuk terus memajukan bidang pendidikan negara di Bumi Kenyalang. Saya mengucapkan terima kasih kepada KPM bersama-sama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), atas inisiatif untuk menerima satu cadangan membekalkan komputer tablet serta pengisian tutor dan e-Paper Utusan Malaysia kepada guru-guru di Sarawak.”PM TABLET 3

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tablet Berserta Perisian Tutor dan E-Paper Utusan Malaysia kepada Para Guru Kementerian Pendidikan Malaysia di Hotel Imperial, pagi tadi.

“Saya yakin proses P&P akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Guru-guru dapat menyampaikan kandungan pendidikan dengan lebih kreatif kerana pelajar-pelajar hari ini yang merupakan digital natives seperti disebutkan oleh Menteri Pendidikan ini terlalu kreatif mindanya berbanding dengan kita yang boleh dikatakan dinosaur pada zaman yang baharu ini dan kita cuba nak belajarlah.

“Oleh itu, kalau tiada tablet ini, kita takut murid lebih bermaklumat daripada guru. Ini pun satu daripada cabaran bagi kita sebab mereka ini terlalu pantas untuk dapat akses kepada maklumat kini. Jadi, dengan adanya tablet ini ibarat satu revolusi kecil dalam bidang pendidikan negara,” jelas Najib.

Terdahulu Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut memperkatakan situasi P&P zaman ini yang semakin berkembang pesat dan KPM berusaha memberikan pendidikan menyeluruh dengan dengan menyediakan prasarana pendidikan yang berteraskan ICT secara adil, saksama serta berkualiti di samping merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dengan luar bandar di negara ini.PM TABLET 2

“Suasana pendidikan dewasa kini sudah berubah. Murid-murid zaman kini ialah digital natives – celik mata sahaja mereka akan terlebih dahulu mencapai telefon pintar masing-masing. Teknologi pendidikan berkembang pesat dan realitinya murid kita lebih terkedepan dalam penggunaan teknologi terkini.

“Justeru, sebagai pendidik, kita mestilah tiga langkah ke hadapan berbanding mereka, dan lebih penting lagi bimbinglah mereka supaya mereka tahu membezakan yang mana betul, yang mana salah,” ujar Mahdzir.

Tambahnya, kejayaan Sarawak dalam tiga tahun Gelombang 1 transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, pencapaian Literasi dan Numerasi murid-murid negeri ini amat membanggakan.

“Literasi Bahasa Melayu mencatat 97.2% dan literasi Bahasa Inggeris adalah pada kadar 92.3%, antara pencapaian tertinggi di seluruh negara. Di peringkat kebangsaan, kita telah berjaya merapatkan jurang pencapaian sebanyak 31.6% berdasarkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi Sarawak melangkah jauh kerana berjaya merapatkan jurang sebanyak 43.7%,” jelas Mahdzir.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Penerangan Negeri (JPN) Sarawak, Hajah Salbiah Hajah Seman, penggunaan tablet yang dimasukkan perisian tutor dan e-paper Utusan Malaysia amat penting dalam P&P kerana guru-guru kini perlu berubah mengikut zaman.

“Ini amat membantu para guru terutamanya dalam membuat perancangan dengan rancangan pengajaran yang boleh dimasukkan dalam tablet selain memudahkan lagi simpanan soalan bank soalan. Cikgu-cikgu ini apabila mengajar sesuatu, dia boleh link (hubungkan) terus. Semua dah ada di situ. Dia tekan sahaja, maknanya semua maklumat itu ada,” ujar Hajah Salbiah.

Pada majlis yang sama, Najib turut memaklumkan bahawa pemberian tablet ini akan dibuat di semua negeri.

“Selepas Sarawak, kita akan berpindah ke negeri-negeri lain dan dalam masa tertentu, semua guru sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara akan dapat dibekalkan dengan tablet ini,” kata Najib.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

SF

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...