Skip to main content
Berita TempatanPahang

Masyarakat Makin Positif Terima Polis

By 5 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh : Mohamad Azree Mohd Zaki, Emran Ismail dan Che Nor Ismail (Pahang)

RAUB, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Mengurangkan kadar indeks jenayah merupakan tugasan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun perancangan yang teliti harus dilakukan terlebih dahulu dengan daya pemikiran yang kreatif dan lebih matang.

Penjenayah pada zaman ini tidak seperti penjenayah pada zaman dahulu, mereka amat licik dalam melakukan kegiatan sehinggakan ada ketikanya dapat mengalih pandangan penguat kuasa daripada ditangkap seterusnya didakwa di mahkamah.

Senario sebegini bukanlah sesuatu yang asing kepada pegawai polis yang berkhidmat untuk menjaga kesejahteraan negara. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi mereka ketika pelbagai pihak lain asyik menuding jari kepada mereka.

Biarpun penerimaan masyarakat kepada PDRM pada masa ini berbeza, PDRM tetap menjalankan kewajiban yang telah diamanahkan walaupun ada segelintir masyarakat yang memandang negatif terhadap kredibiliti mereka dalam menangani kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Wan Zahari Wan Busu, menyifatkan pembaharuan kepada taktik yang diamalkan oleh pihak polis perlu dari semasa ke semasa.

“Walaupun tugas ini mencabar dan mungkin menjadi beban, namun ini tanggungjawab setiap anggota polis untuk memastikan masyarakat dan negara dalam keadaan aman sejahtera.”

“Polis Raub juga menggunakan sistem metrik iaitu penugasan mengikut masa, hari dan bulan dalam membanteras jenayah. Selain itu, tugasan juga dijalankan dalam dua dimensi iaitu conventional policing dan comunnity policing,” ujar beliau ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif hari ini.

Tambahnya, statistik indeks jenayah di Daerah Raub mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu. Hanya empat kes melibatkan jenayah kekerasan dicatatkan berbanding tujuh kes tahun lalu manakala jenayah harta benda pula mencatatkan 22 kes berbanding 36 kes tahun lalu.

Ini membuktikan penerimaan masyarakat terhadap pihak polis adalah positif.

Pelbagai aktiviti telah dirancang Balai Polis Raub untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, antaranya 1PDRM 1 Masjid, Program Santai Mesra Bersama Masyarakat, Program Jiwa Murni dan banyak lagi.

Masyarakat akan mudah untuk menyalurkan maklumat kepada polis jika polis sentiasa ada dalam kelompok masyarakat. Memang bertepatanlah tema hari polis pada tahun ini, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

SH

Tinggalkan komen anda