Sesetengah Orang Sememangnya Buruk Perangai

trol

 

Oleh Aziz A.Shariff

Ini sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan ditimbulkan jutaan kali sejak kemunculan media sosial di Internet.

Buat permulaan, kita menjejak kembali satu eksperimen yang lakukan pada tahun-tahun 60an. Eksperimen yang jelas sekali tidak perlu dibanggakan.

Dinamakan Miligram Experiment ia merupakan satu ujian di mana seorang lelaki dimasukkan ke dalam sebuah bilik yang dilengkapi sebuah meter besar bertanda ‘Elektrik.’ Dia kemudian dimaklumkan oleh petugas bahawa apa yang bakal dilakukan hanya sekadar kajian berhubung cara-cara mengajar.

Untuk memendekkan cerita: sebahagian besar daripada para petugas eksperimen tersebut tidak akan teragak-agak untuk menekan punat bagi menyalurkan tenaga elektrik dan seterusnya dengan pantas membunuh lelaki itu kerana ketua petugas berkata ‘OK, tekan.’

Kajian berlatarbelakangkan igauan Perang Dunia Kedua yang masih segar dalam ingatan itu dikemukakan sebagai bukti bahawa manusia akan secara membuta tuli patuh kepada “pihak berpengaruh”, hingga sanggup mengenepikan pegangan moral, peradaban serta perikemanusiaan. Mereka seterusnya sanggup menjadi penyeksa, malahan juga pembunuh.

Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi tafsiran: bahawa manusia  yang boleh melakukan sesuatu secara berselindung tanpa mendedahkan nama dan identiti mereka akan begitu mudah terpesong ke arah kejahatan. Dalam keadaan sebegini, mereka yang dilihat sebagai mempunyai peradaban dan tahap ketertiban yang tinggi dengan cepat boleh terjerumus ke dalam lembah kehinaan.

Anda faham apa yang dimaksudkan?

Saya merujuk kepada sifat buruk seiring populariti media sosial yang telah banyak merubah cara hidup kita. Ia umpama sebuah kereta.Siapa boleh menafikan bahawa Internet telah menonjolkan begitu banyak keburukan? Dalam konteks yang sama, kereta juga mencetuskan pelbagai kemudaratan dan kesan tidak baik, termasuk pencemaran udara, pembuli jalanan, kemalangan jalanraya, dan lain-lain.

Hakikatnya, apabila kita memberikan reaksi melalui komen terhadap perkara-perkara bodoh yang dipostkan oleh orang lain, kita hanya sebenarnya menyumbangkan kepada keruntuhan moral dan akhlak sendiri yang seterusnya dipertontonkan sebagai ikutan kepada generasi muda.

Mungkin kita marah sangat dengan post-post tertentu, tetapi dalam pada itu tindak balas kita melalui komen yang memaki hamun dan mencarut tidak akan memperbaiki keadaan.

Apakah yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan keadaan sebegini?

Jika Ah Long melekatkan sticker di hentian bas, perlukah kita meruntuhkan hentian bas itu? Itu hanya sebagai contoh bahawa realitinya tindakan sebegitu mustahil boleh dilakukan tanpa menyusahakan lagi masyarakat.

Sementara itu, dalam dimensi lain kita seringkali dihadapkan dengan laungan supaya dihapuskan segala kekangan ke atas kebebasan ‘bersuara’ dalam Internet. Alasan yang diberikan bahawa kebebasan itu amat penting dan kita tidak perlu dibelenggu oleh kesan negatifnya.

Memang ini benar, tetapi jika seseorang menghampiri kita dan mula menengking dan mengatakan kita perlu dibunuh atau dirogol sambil menghamburkan kata-kata kesat yang menghina, apa yang patut kita buat?

Jawapannya mungkin terus bagi penampar atau terajang orang itu, kan?

Sesungguhnya, rentetan peristiwa-peristiwa dahsyat sejak beberapa bulan lalu yang berlaku di serata dunia tidak mungkin dapat mengajar kita atau memberikan kita iktibar. Itulah setidak-tidaknya tanggapan saya.

Bagi saya, sebenarnya apa yang berlaku dalam dunia nyata itu adalah hasil kebebasan bersuara yang memupuk kebencian dalam dunia maya.

Jadi, apa yang tersirat pada pendapat saya ini mungkin merujuk kepada premis bahawa sememangnya masyarakat wajib menangkap dan memenjarakan puak-puak yang berkelakuan hodoh semasa menggunakan media sosial.

Oleh itu, janganlah kita turut menjadi bodoh sekiranya berdepan dengan orang bodoh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *