Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahRencana & Pendapat

MUZIUM KOTA KUALA KEDAH – Tarikan Bersejarah Negeri Kedah

By 5 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Noor Shameiza Hj Abd Razak/Noor Faeizah Hj Ahamad

Muzium Kota Kuala Kedah, juga dikenali sebagai Muzium Bandaraya Kuala Bahang, merupakan destinasi menarik bagi pengunjung yang berminat dengan sejarah dan warisan budaya Kedah. Terletak di pekan Kuala Kedah, muzium ini memaparkan tinggalan dan cerita yang dikaitkan dengan kota kubu ini.

Pada mulanya Muzium Kota Kuala Kedah dibina sebagai benteng pertahanan bagi negeri Kedah selain dari ibu negerinya di Alor Setar. Sejarah ringkas kota yang dibina dalam tahun 1771 semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa ini siap pembinaannya dalam tahun 1780.

Selepas Perjanjian Bangkok 1909 pihak Inggeris telah membina beberapa bangunan di dalam kota ini. Antaranya adalah bangunan galeri muzium Kota Kuala Kedah yang kekal sehingga ke hari ini. Bangunan muzium pada asalnya merupakan rumah peranginan untuk pembesar-pembesar negeri. Pada tahun 1912 sehingga tahun 1943, bangunan ini pernah dijadikan sekolah, mahkamah syariah, masjid dan markas Tentera Jepun.

Pada tahun 1993 bangunan yang telah sekian lama ditinggalkan ini telah roboh akibat dipukul ribut maka Jabatan Muzium Malaysia telah mengambil inisiatif mengumpul semua kayu-kayu bangunan untuk kerja-kerja konservasi bagi pembinaan semula bangunan tersebut. Pada tahun 1995 dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, bangunan ini telah didirikan semula berkonsepkan rekabentuk yang asal. Pada 6 Jun 1999 bangunan ini dibuka secara rasmi sebagai pusat informasi (Galeri) sempena lawatan YB Datuk Paduka Sheikh Abdul Kadir Sheikh Fadzir selaku Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu.

Muzium Kota Kuala Kedah mempamerkan sebanyak 58 koleksi artifak terdiri daripada monumen dan artifak sedia ada yang ditinggalkan sejak kewujudan kota, artifak hasil temuan projek carigali arkeologi di Kota Kuala Kedah dan artifak pinjaman dari ibu pejabat Jabatan Muzium Malaysia.

Muzium ini juga memperagakan 60 koleksi artifak arkeologi, seramik dan batu bata asal kota. Antara koleksi menarik yang dipamerkan di Muzium Kota Kuala Kedah ialah 13 buah peluru meriam dan 6 buah meriam buatan Inggeris yang berusia lebih 100 tahun. Selain itu, terdapat artifak yang dipanggil ‘Pelita’ ditemukan semasa penyelidikan arkeologi dan kerja-kerja konservasi tembok timur berhampiran pintu gerbang Kacapuri

Bagi orang ramai yang berminat untuk mengetahui dan meneroka sejarah serta keindahan Muzium Kota kuala Kedah, mereka boleh datang secara percuma di samping beriadah bersama keluarga mahupun teman-teman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda