‘Lahabau, Apa Khabar’ Bukan Ayat Kasar Orang Melaka

Feature - Lahabau Apa Khabar

 

 Laporan oleh M Zakry Chan

MELAKA, 13 Jan (Malaysiaaktif)“Assalamualaikum, lahabau kau lama tak nampak?” Itulah ungkapan bahasa orang Melaka yang sering disalahertikan sebagai kasar oleh sesetengah orang yang bukan berasal dari negeri ini.

Namun, bagi orang Melaka, itu adalah cara yang menunjukkan kemesraan dalam kalangan masyarakat negeri Hang Tuah ini.

Perkataan ‘lahabau’ dan ‘hawau’ tidak boleh dipisahkan daripada loghat orang Melaka kerana dua perkataan ini ada sejarahnya tersendiri yang menjadikan ia sangat unik.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘lahabau’ ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap atau ‘haprak.’

Gambar dari gotomelakablogspotcom

Sumber: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

 

Namun begitu, terdapat sejarah yang mengaitkan perkataan ‘lahabau’ ini dengan penggunaan bahasa Arab pasar yang dibawa oleh pedagang Timur Tengah ke Melaka semasa zaman silam.

Menurut Imam Satu Masjid Cina, Ustaz Murad Ahmat, 35, ‘lahabau’ adalah perkataan Arab ‘La Khabar’ yang bermaksud lama tidak dengar khabar.

Ustaz Murad 2

Ustaz Murad / Gambar ihsan Ustaz Murad

 

“Perkataan ini telah digunakan oleh pedagang Arab yang berdagang di Melaka sejak era Kesultanan Melaka dan telah menjadi perkataan pinjaman. Oleh sebab orang Melaka sememangnya akan tukarkan huruf R kepada U maka perkataan La Khabar menjadi ‘lahabau’,” jelasnya ketika dihubungi, pagi tadi.

Sementara itu, seorang peniaga tempatan, Abdul Rahim Ali, 40, berkata perkataan ‘lahabau’ menjadi ungkapan wajibnya dalam perbualan bersama rakan dan taulan.

“Kemesraan itu muncul apabila ‘apa kabau lahabau’ dimulakan selepas ucapan asalamualaikum. Itulah ayat pengenalan kalau nak kenal orang Melaka,” jelasnya.

Pelajar kolej swasta, Nur Hanis Samsudin, 20, yang berasal dari Perak berkata pada mulanya, dia agak takut apabila melihat cara orang Melaka bergurau dan bertegur sapa dengan perkataan kasar.

“Namun selepas sebulan berada di Melaka, saya terbiasa dan merasa seronok dengan budaya orang Melaka yang cakap ‘kasau’ (kasar), namun, hati baik.

“Tapi, biasanya orang Melaka tidak menggunakan perkataan kasar dengan orang luar kerana belum mesra, tapi apabila dah mesra, habis kena maki seranah,” ujarnya dalam tawa.

Nor hashim

Nor Hashim Yusof berkata ada lagi perkataan Melaka lain yang makin dilupakan seperti sengkuap (serambi), dan mengkewan (bilik air).

 

Manakala menurut penjawat awam, Nor Hashim Yusof, 56, sebenarnya banyak lagi loghat Melaka yang makin dilupakan oleh generasi muda anak Melaka seperti ‘sengkuap’ (serambi), ‘mengkewan’ (bilik air) dan lain-lain lagi.

“Namun, perkataan ‘lahabau’ yang menjadi popular bukan sahaja dalam kalangan orang Melaka malah seluruh Malaysia walaupun mungkin maksudnya berlainan,” katanya.

 

-DZ/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...