
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)/DBKL
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa cakna dalam menangani masalah kenderaan buruk dan tersadai di bandar raya Kuala Lumpur.

Gimik perasmian Depoh Tunda Kenderaan DBKL di Pantai Sentral.
Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Ismadi Sakirin depoh berkeluasan 2.5 ekar yang menelan kos sebanyak RM600 ribu ini dapat menampung 800 unit kenderaan pada satu-satu masa dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kenderaan terbiar di Kuala Lumpur.
“Pembangunan depoh ini dilaksanakan selaras dengan keperluan penambahan ruang penyimpanan kenderaan tersadai dan buruk yang ditunda bagi menangani aduan awam yang diterima.
“Peningkatan aduan awam bagi kenderaan tersadai dan buruk yang semakin meningkat saban tahun menjadikan ruang penyimpanan sedia ada semakin terhad,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Depoh Tunda Kenderaan DBKL di Pantai Sentral kelmarin.

Ismadi membawa Fahmi dan Zahir meninjau tapak depoh.
Ismadi turut menegaskan bahawa sikap beberapa pemilik kenderaan buruk dan tersadai yang tidak mengambil tanggungjawab ke atas kenderaan mereka telah menimbulkan kesulitan kepada warga kota yang lain untuk menggunakan petak meletak kenderaan yang terhad.
“Pemilik kenderaan dinasihatkan supaya mengambil inisiatif secara sukarela untuk membuat pelucutan hak kenderaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan supaya kenderaan tersebut boleh dilupuskan dan dapat mengurangkan masalah kenderaan tersadai,” ujarnya.
DBKL sebelum ini telah menyediakan tiga depoh simpanan kenderaan tunda di Taman Connaught dan Jalan Emas di Cheras, serta Depoh Sentul, yang mampu menampung hingga 3,000 unit kenderaan buruk dan tersadai.
Turut hadir Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.
-ZS-