Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Jom ke Pekan Rabu

By 3 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ismail Hassan (Kota Setar)

ALOR SETAR, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pekan Rabu nama yang begitu sinonim dalam kalangan penduduk di Alor Setar dan menjadi tempat persinggahan pelancong yang berkunjung ke utara tanah air khasnya negeri Kedah.

Pekan Rabu diasaskan oleh Putera Diraja Kedah Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Yaakob Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1921.

Nama Pekan Rabu dimetri sempena hari keputeraan Baginda iaitu pada hari Rabu.

Shahril Izwan Zulkifli, peniaga songkok yang diwarisi daripada bapanya.

Keseluruhan Pekan Rabu memiliki 350 lot perniagaan dan merupakan milik penuh Koperasi Pekan Rabu yang menjadi tempat penjualan produk-produk tempatan seperti kuih tradisional, ikan pekasam, barangan kraftangan dan juga busana Melayu.

Peniaga dibahagikan kepada zon tertentu seperti tingkat bawah yang juga dikenali sebagai arked dikhaskan untuk menjual makanan, barangan kraftangan, cenderamata, barangan kering dan di tingkat satu pula dikhaskan untuk pakaian dan kuih-muih tradisional.

Di tangkat dua dan tiga pula terdapat produk-produk makanan seperti ikan pekasam, ikan kering, asam keping, beras pulut dan lain-lain.

Menurut seorang peniaga songkok Shahril Izwan Zulkifli, 38, beliau telah mengusahakan kedai songkok yang diwarisi daripada ayahnya.

“Saya sudah 15 tahun berkecimpung di dalam bidang ini. Permintaan songkok ini akan meningkat menjelang musim perayaan dan musim perkahwinan,” katanya semalam.

Gerai kraftangan sering menjadi tumpuan pengunjung.

Pengusaha ikan pekasam dan ikan kering yang ditemui Intan Liana Yazan, 38, berkata beliau sudah berniaga di Pekan Rabu sejak tahun 1997.

“Perniagaan di sini mengikut musim dan pengunjung akan ramai setiap kali menjelang perayaan,” ujarnya.

Pelbagai kemudahan turut disediakan untuk keselesaan pengunjung seperti surau, tempat letak kenderaan, mesin ATM, tandas, tempat rehat dan kedai makan.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui Othman Zailani, 60, melahirkan rasa gembira dan menyifatkan Pekan Rabu merupakan lubuk makanan tradisional.

“Rugi kepada siapa yang tidak berkunjung ke Pekan Rabu jika dah sampai ke bumi Alor Setar,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda