65 Peserta Terpilih Ditaja Dalam Program Ibadah Umrah

WhatsApp Image 2017-04-18 at 5.34.09 PM

 

 Laporan dan foto oleh: Anwar Aizuddin Abdul Wahab (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 18 April (Malaysiaaktif) – Seramai 65 peserta terpilih ditaja Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan FELDA Travel Sdn Bhd dalam Program Ibadah Umrah dengan peruntukan melebihi RM300 ribu.

Bagi pasangan suami isteri yang berasal dari Lembah Keramat, Hamid Wardi, 74 dan Kamariyah Md Tahir, 72, mereka berasa bersyukur dan gembira kerana berpeluang untuk menunaikan umrah pada tahun ini.

“Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya kami dapat menunaikan ibadah umrah pada tahun ini. Terima kasih juga kepada Tengku Adnan dan YWP kerana dengan tajaan mereka, kami dapat menunaikan umrah. Doakan kesihatan dan keselamatan sepanjang kami berada di sana,” luah Hamid Wardi yang juga merupakan pesakit barah hati tahap empat.

Antara peserta program ibadah umrah, Hamid Wardi, 74 dan Kamariyah Md Tahir 72

Turut terpilih untuk menyertai program ini, Abd Wahab Ismail, 53 dan Sumari Mangat, 52, berterima kasih kepada penaja yang merealisasikan hasrat mereka untuk ke Tanah Suci.

“Syukur kepada Allah S.W.T kerana kami antara peserta yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Doa kami semoga kami diberi kesihatan yang baik untuk kami beribadat dan semoga ibadat kami diterima oleh Nya,” katanya.

Program yang memasuki tiga tahun penganjurannya ini merupakan manifestasi dan komitmen YWP dalam membantu dan menjiwai keperluan jasmani dan rohani rakyat khususnya warga Wilayah Persekutuan sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam misi TN50 bagi melahirkan masyarakat yang membudayakan nilai-nilai agama sebagai tunjang kehidupan masyarakat maju dan berjaya.

Dari kiri: Abd Wahab Ismail, 53 dan Sumari Haji Mangat, 52, peserta Ibadah Umrah YWP 2017

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpesan agar para peserta menunaikan umrah dengan hati yang bersih.

“Kerjakanlah ibadah umrah ini dengan penuh penghayatan serta hati yang bersih. Doakan yang terbaik untuk negara dan rakyat. Sampaikan salam kami dari Wilayah Persekutuan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhamad S.A.W,” pesannya.

Kesemua peserta program bakal berangkat ke Mekah pada 24 April ini dan akan pulang ke tanah air pada 4 Mei.

Turut hadir, Pengerusi YWP, Datuk Seri Syed Ali Tan Sri Abbas Alhabshee, Pengerusi Eksekutif YWP, Datuk Rozman Datuk Haji Isli dan Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Travel Sdn Bhd, Nora Azmin Mohd Radzuan.

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...