Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Lempeng Tanpa Gula, Diet Si Bayau

By 13 Oktober 2017Julai 25th, 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

SANDAKAN, 13 Okt (Malaysiaktif) – ‘Si Bayau’ yang menjadi maskot Sukan Malaysia (SUKMA) di Sabah 2002 tentunya pilihan tepat mewakili imej negeri ini yang terkenal dengan kepelbagaian spesies hidupan hutannya.

Peluang mengenalinya memang tidak dapat dilepaskan begitu sahaja apabila Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Cawangan daerah Sandakan menawarkan pakej lawatan ke Pusat Pemuliharan Monyet Proboscis berkenaan di sini pada Selasa.

Aspek pemakanan, penjagaan diet yang betul serta makanan tambahan seperti lempeng tanpa gula sangat penting demi kelangsungan hidup Monyet Proboscis atau gelarannya di negeri bawah bayu ini sebagai Si Bayau.

Menurut pemandu pelancong, Muhd Jhonathan Escobido Abdullah, 31, Si Bayau sangat berbeza kerana tidak makan buah-buahan dan juga makanan manis melainkan tumbuh-tumbuhan.

Pengalaman tidak dapat dilupakan oleh Jhonathan apabila ditampar oleh Si Bayau

Pengalaman tidak dapat dilupakan oleh Jhonathan apabila ditampar oleh Si Bayau

“Ini kerana perut Si Bayau tidak dapat mencerna gula yang terkandung pada buah-buahan, yang boleh mengakibatkan kematian,” katanya yang hampir 10 tahun bertugas di Labuk Bay Sanctuary.

Tambahnya, pemilihan lempeng sebagai makanan tambahan, bermula kira-kira 20 tahun yang lalu ketika Platfom B masih digunakan sebagai kuarters pekerja.

“Keadaan cuaca sangat terik ketika itu hingga dedaunan yang menjadi sumber makanan mereka menjadi layu menyebabkan Si Bayau memecah masuk ke dalam kuarters dan makan lempeng bersama secawan kopi yang diletakkan di atas meja.

“Keadaan itu berterusan beberapa hari selepas itu kerana kekurangan daun sebagai makanan sehingga pihak kami seterusnya membuat kajian tentang kesesuaian lempeng untuk dijadikan makanan tambahan buat mereka,” jelasnya.

Kata Jhonathan, menu lempeng itu disediakan sendiri oleh pekerja empat kali sehari mengikut jadual makanan Si Bayau iaitu di Platform A pada jam 9.30 pagi dan 2.30 petang manakala di Platform B pada jam 11.30 pagi dan 4.30 petang.

“Memandangkan di kawasan ini dikelilingi pokok bakau, maka Si Bayau hanya akan makan daun daripada pokok tersebut serta kekacang saja selain timun dan lempeng yang kami sediakan.

“Kawasan di sini hanya sebesar 500 ekar, itulah sebabnya kami perlu memberi makanan yang cukup termasuk makanan tambahan supaya mereka tidak pergi ke tempat lain dan terdedah dengan ancaman luar.

Menikmati lempeng tanpa gula yang disediakan khas oleh pekerja Labuk Bay Sanctuary.

Menikmati lempeng tanpa gula yang disediakan khas oleh pekerja Labuk Bay Sanctuary.

“Memandangkan kawasan ini juga berdekatan dengan kawasan kelapa sawit, kami mahu elakkan Si Bayau ke sana supaya tidak merosakkan buah sawit dan mengganggu ladang orang,” ujarnya.

Tambah Jhonathan juga, dana untuk membaik pulih fasiliti Labuk Bay Sanctuary dan makanan monyet diperoleh daripada jualan tiket yang dikenakan kepada pengunjung. Bagi pengunjung tempatan dewasa, yuran yang akan dikenakan ialah RM15 dan RM5 untuk kanak-kanak manakala untuk pelancong pula dikenakan RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak disertai bayaran tambahan jika membawa kamera.

Menurutnya lagi, kehadiran pelancong di sana sekurang-kurangnya membantu mereka belajar mengenal hidupan liar dan sekali gus lebih menghargai alam serta membantu melindungi spesies yang terancam.

“Bekerja dengan hidupan liar seperti Si Bayau perlu berhadapan pelbagai cabaran mengendalikan mereka berbanding bekerja di zoo kerana perlu mempelajari kelakuan dan gaya hidup monyet supaya mudah dikawal.

“Saya pernah ditampar oleh monyet kerana sifatnya yang selalu teruja, namun begitu Si Bayau merupakan monyet yang lemah-lembut dan tidak agresif.

“Ada juga sesekali Si Bayau berbuat bising dan berlari di atas hentian rehat ini serta membuat bunyi yang kuat untuk menunjukkan kekuasaan mereka untuk menggertak pencabar,” jelasnya.

Secara keseluruhannya terdapat 200 ekor monyet di sini namun setiap platform mempunyai jumlah populasi yang berbeza kerana Si Bayau gemar tinggal berkelompok. Terdapat dua jenis label yang telah dibahagi di sana iaitu kelompok berkeluarga yang terdiri daripada seekor jantan dominan yang dikelilingi oleh betina dan bayi. Bayi yang berusia dua tahun akan diusir untuk menyertai kumpulan bujang.

Kumpulan bujang pula hanya terdiri daripada monyet jantan. Dalam kumpulan ini pula jika suatu ketika si bujang berasa sudah kuat, si bujang akan cuba mencabar jantan dominan tadi untuk menggantikan kedudukan tersebut.

Hashim (kanan) bersama pengunjung tempatan yang teruja dapat melihat Si Bayau.

Hashim (kanan) bersama pengunjung tempatan yang teruja dapat melihat Si Bayau.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung tempatan, Hashim Ibrahim, 55, merasa teruja dengan lawatan pertama kalinya ditambah lagi dapat berdiri berhampiran dengan Si Bayau.

“Memang sangat teruja dapat melihat haiwan pada jarak dekat yang selama ini hanya diperhati dari jauh atau dilihat melalui kaca televisyen dan majalah,” katanya.

Hashim turut memuji usaha yang dijalankan di kawasan tersebut kerana merasakan sangat perlu diadakan pusat pemuliharaan untuk mengekalkan kewujudan monyet probocis.

“Ini boleh dijadikan bukti kepada generasi akan datang bahawa monyet berhidung besar ini bukan sekadar satu mitos. Kerajaan juga perlu memainkan peranan memulihara habitat monyet ini daripada gangguan kerana jika tempat semula jadinya diganggu kemungkinan monyet ini akan pupus,” kata Hashim.

 

 

-SF

Tinggalkan komen anda