
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Bermula dengan minat suka-suka mengumpul pakaian dan kasut terpakai, akhirnya menimbulkan minat kepada Mohd Rifaee Yahya untuk memulakan perniagaan pakaian dan barangan terpakai.

Pelbagai pilihan kasut disajikan kepada pelanggan.
Mohd Rifaee, 40, ketika ditemui semalam, berkata bermula pada tahun 2007 dengan hanya bermodalkan RM10 ribu yang diperolehi melalui pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia, beliau mula berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian dan barangan terpakai yang beroperasi di Kampung Batu Hampar, Jalan Sungai Tiang.
“Barangan yang dijual di kedai kami diperolehi dari pembekal yang berada di Port Klang.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah dari golongan anak muda yang berminat dengan kasut terpakai dan pada bulan Ramadan yang lalu, kami telah berjaya menjual sebanyak 450 pasang kasut,” jelasnya.

Beg tangan terpakai wanita turut terdapat di sini.
Tidak lari daripada menghadapi pelbagai cabaran pada peringkat awal penglibatan dalam bidang perniagaan, ramai dalam kalangan rakan-rakan yang tidak yakin perniagaan ini dapat memberikan keuntungan.
“Berkat sokongan isteri dan keluarga, akhirnya saya berjaya mendepani cabaran dan kini terus menerajui perniagaan barangan terpakai ini dengan kekuatan seramai lapan orang pekerja.
“Impian saya adalah agar perniagaan yang dijalankan ini, yang dikenali dengan nama MRY Puyuh Enterprise (Pie Bundle) dapat mewujudkan lebih banyak cawangan di daerah-daerah lain di Kedah,” jelas Rifaee.
-ZS-