Pusat Internet 1Malaysia Daerah Rembau Dilancar

4473DB8F-5F28-419D-B796-A8102A9DCCBD
Laporan & Foto: Sapar Sutir (Rembau)
 
REMBAU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat (USP).

PI1M yang dahulu dikenali dengan nama Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) mempunyai peralatan teknologi maklumat dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar Internet, membolehkan komuniti luar bandar menikmati kebaikan Internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar.

Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan dan penyambungan Internet, setiap PI1M menyediakan latihan dan perisian komputer.

KJ merasmikan PI1M

KJ merasmikan PI1M

PI1M Pekan Kota Rembau merupakan pusat Internet utama bagi penduduk Kota Rembau merangkumi kampung-kampung berdekatan. Ini disebabkan oleh kedudukannya yang strategik dan terletak di kawasan jalan utama dari Tampin ke Seremban.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah merasmikan pusat berkenaan pada Sabtu.

Menurut Pengurus PI1M, Kota Rembau, Nur Qhaireen Izzati Noor Haslin, pusat berkenaan juga telah banyak mengadakan program untuk masyarakat setempat pada 23 dan 24 September 2017 yang lalu.

“Pusat Internet 1Malaysia Kota, Rembau telah mengadakan satu kursus dengan kerjasama MCMC dan Pejabat Agama Islam Daerah Rembau. Kursus atau latihan yang diberi nama Modul Asas ICT (Media Sosial) ini melibatkan mereka yang berkhidmat di bawah Pejabat Agama Islam Daerah Rembau. Peserta terdiri daripada Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Takmir dan juga Guru Kafa. Modul yang diberi kepada peserta disediakan oleh MCMC sendiri.“

“Peserta diberi pendedahan tentang kepentingan media sosial dan cara-cara mengendalikan media sosial dengan betul. Antara pengisian dalam modul tersebut ialah Gmail, Facebook, Instagram dan YouTube. Kursus ini dijalankan bagi memastikan peserta yang berkhidmat di bawah Pejabat Agama Islam Daerah tidak terkecuali dalam pembangunan ICT dan juga menjadikan media sosial sebagai medium untuk berkomunikasi dengan komuniti di dalam organisasi mereka.

“Para peserta disyorkan untuk mewujudkan laman media sosial untuk organisasi yang mereka wakili supaya mudah untuk mereka menyebarkan maklumat dan informasi kepada komuniti,“ ujarnya lagi.

Tambahnya, pada 7 Oktober yang lalu, PI1M Kota telah mengadakan aktiviti My Beautiful PI1M.

“Aktiviti ini disertai pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Kota, Rembau. Program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang cara menjaga dan menghargai kemudahan awam yang disediakan terutamanya kemudahan yang ada di Pusat Internet.

“Program ini merupakan salah satu program kesedaran. Selepas taklimat, peserta perlu mengumpul sampah-sarap dan membersihkan kawasan sekitar pusat Internet. Peserta turut didedahkan dengan perbezaan bahan buangan yang boleh dikitar semula dan yang perlu dilupuskan serta merta.

“Pada 17 Oktober, PI1M Kota telah mengadakan program eKelas Registration & Exploration. Program ini melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah. Pelajar diperkenalkan dengan Portal Pembelajaran eKelas Maxis dan diajar tentang fungsi-fungsi dalam portal tersebut.

“Pelajar terlibat juga diberi masa untuk melakukan eksplorasi sendiri selepas sesi pembelajaran agar mereka lebih faham dan ingat apa yang dipelajari. Portal ini membolehkan pelajar belajar secara interaktif dan boleh diakses di mana-mana sahaja dengan capaian Inernet.

Sementara itu seorang pesara, Idris Jusoh, 63 berkata dia sering berkunjung ke Pusat Internet berkenaan.

“Ini kerana bayaran yang dikenakan berpatutan RM1 sejam untuk ahli manakala bukan ahli RM2 sahaja manakala percuma untuk warga emas 60 tahun ke atas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar berusia 20 tahun ke bawah dan ada Kad Pelajar Universiti dan lain-lain.

“Yuran keahlian RM5 dan pusat ini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang kecuali cuti umum,” jelasnya.

 

-SF/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...