Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Penjawat awam disarankan agar terus komited dalam melaksanakan hasrat kerajaan dan mencurahkan khidmat cemerlang kepada semua lapisan masyarakat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, berkata usaha itu mampu diteladani di bawah konsep Malaysia
MADANI untuk difahami dan dilaksanakan dalam menentukan hala tuju negara.
“Saya berharap agar kakitangan ataupun pegawai-pegawai ataupun warga pekerja yang berkhidmat dengan kerajaan ini dapat terus komited dan fokus untuk mendukung dan memastikan, melaksanakan hasrat yang dibawa oleh kerajaan.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menginginkan agar konsep Malaysia MADANI itu dapat kita bawa sehingga ke akar umbi yang tidak akan meminggirkan kaum, tidak meminggirkan suku, bangsa dan sebagainya, peringkat umur dan menikmati kesejahteraan negara yang ada pada hari ini,” katanya ketika merasmikan majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Wisma Persekutuan Tawau di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menyeru warga Bangunan Wisma Persekutuan untuk terus memberi komitmen untuk menjaga nama baik kerajaan dan seterusnya menjadi perantara antara pemerintah dan juga rakyat.
Mengulas mengenai majlis tersebut, Abu Bakar percaya penganjurannya dapat mengeratkan hubungan antara penjawat awam dan masyarakat di daerah ini.
“Penganjuran rumah terbuka memberi turut peluang kepada orang awam yang mempunyai kesempatan untuk hadir dan bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Dianggarkan seramai 700 warga Bangunan Wisma Persekutuan Tawau dan masyarakat setempat hadir memeriahkan majlis tersebut.
Turut hadir Konsulat Republik Indonesia Ibu Heni Hamida, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tg Batu Saharuddin Salleh, PPM Merotai Jailani Chaco, PPM Balung Amran Karim, PPM Kukusan Sukardi Mahsuri dan Ahli Dewan Belia Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Sammy Liew.
-ZS-