
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Malaysiaaktif) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan baki pelaburan ditebus oleh 1MDB di sebuah bank di Singapura adalah dalam bentuk aset, iaitu mata wang dolar Amerika.
Beliau berkata simpanan dalam bentuk aset itu bertujuan mengimbangi liabiliti dolar.
Identiti bank yang dilantik sebagai penjaga aset bagi pihak 1MDB, bagaimanapun, tidak didedahkan.
Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di parlimen hari ini.
Ia berhubung wang tunai sebanyak 1.1 bilion ringgit yang ditebus dari Kepulauan Cayman.
Bagaimanapun, sebarang maklumat adalah tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa di bawah Seksyen 10 AMLA.
Seksyen itu juga menjelaskan sebarang maklumat hanya boleh didedahkan kepada agensi penguat kuasa yang menyiasat kes tersebut selepas mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa asing.
Dalam kenyataan sebelum ini Perdana Menteri berkata wang berkenaan masih disimpan dalam bentuk dolar Amerika di BSI bank Limited Singapura bagi memudahkan urusan pengeluaran.
Ia berikutan peraturan ketat oleh Bank Negara bahawa setiap kelulusan transaksi melebihi 500 juta ringgit perlu mendapat kelulusan bank pusat.