Skip to main content
EkonomiHomeViral

KKM Berwaspada, Memantau Isu Beras Palsu

By 22 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Malaysiaaktif) — Kementerian Kesihatan (KKM) sedar tentang berita yang tersebar di laman sosial bahawa “beras palsu” dihasilkan di China dengan mencampurkan kentang dan ubi keledek dan resin sintetik.

Beras itu didakwa dieksport ke beberapa negara Asia.

Maklumat melalui media menunjukkan bahawa beras tiruan ini boleh dibezakan kerana rasa nasi lebih keras selepas ditanak dan lapisan seperti sarung plastik terbentuk apabila nasi dimasak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, KKM akan terus berwaspada dalam memantau isu “beras palsu” berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata KKM ingin menegaskan bahawa resin plastik biasanya digunakan sebagai bahan pembungkusan makanan dan tidak pernah ditambah ke dalam makanan untuk dimakan atas apa pun alasan.

Kementerian katanya akan memaklumkan kepada orang ramai jika ada sebarang maklumat baharu berhubung kebimbangan tentang keselamatan makanan.

KKM juga ingin menasihatkan pengguna yang bimbang dan curiga mengenai keaslian beras supaya memaklumkan sama ada melalui pejabat kesihatan terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg.

Sementara itu, beliau berkata, menurut Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), sebahagian besar beras import ialah dari Vietnam, Thailand dan Pakistan.

Pada 2014, hanya 10 tan metrik beras diimport dari China sementara pada 2015 (sehingga 30 April), hanya 22 tan metrik diimport.

Jumlah beras yang diimport dari China adalah kecil dan sedikit sahaja (kurang daripada 0.01 peratus) berbanding jumlah import keseluruhan kira-kira 800,000 tan metrik.

Tinggalkan komen anda