
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar jemu wartawan bertanya kenapa baharu sekarang diketahui wujud kubur-kubur besar di sempadan Perlis-Thailand.
Khalid berkata beliau sudah jemu menjawab soalan-soalan yang sama dan orang lain pun sudah ‘jemu’ mendengar.
Bagaimana pun, Khalid mengulangi bahawa polis hanya mendapat tahu mengenai kubur-kubur tersebut baru-baru ini pada Mei, dan polis tidak mempunyai bukti pendatang tanpa izin disembunyikan di kem-kem itu.
Namun demikian, beliau berkata “semua orang tahu tentang penyeludupan dan pemerdagangan manusia kawasan itu.
Beliau berkata polis bukanya hanya “duduk diam tanpa berbuat apa-apa.”
Pengarah Badan Hak Asasi Migran, Tenaganita Aegile Fernandez sebelum ini dilaporkan berkata anggota keluarga mangsa-mangsa pemerdagangan manusia pernah memaklumkan kepada polis dan Jawatankuasa Sekretariat Asean beberapa tahun dahulu.
Beliau memberitahu akhbar The Star, “Jadi, saya tidak akan berkata tiada langsung maklumat mengenai kewujudan kem-kem tersebut…maklumat memang mencukupi tetapi kami tidak diambil serius.”
Apabila ditanya mengenai perkara itu, Khalid berkata, “ Kenapa mereka tidak bagi tahu kami? Apabila perkara terjadi dan penemuan dibuat, semua orang menuding jari mengatakan orang ini tidak buat kerja atau tidak mengambil tindakan.”
Beliau menambah, “Saya telah menyatakan empat kali. Dulu pun saya sudah menyatakan yang sama. Kami tidak mempunyai bukti pendatang itu memasuki negara melalui kem-kem tersebut. Saya sudah menjelaskan ini.”
Menurut The Star, apabila beliau ditanya sekali lagi, Khalid berkata polis tidak berdiam diri dan pemerdagangan manusia di sempadan memang diketahui ramai.
“Semua orang tahu,” katanya.
Khalid menegaskan bahawa rupa bumi kawasan sekeliling kem-kem tersebut dan tulang berpuluh mangsa yang dipercayai Rohingya dan Bangladesh dijumpai di lokasi yang sukar dihampiri.
Beliau berkata, “ Kamu pergi tengok sendiri. Kami sudah membenarkan 62 wartawan naik ke sana untuk periksa…kamu tanya mereka macam mana keadaannya. Setiap hari kamu tanya dan saya perlu menjelaskan perkara yang sama. Saya rasa orang sudah jemu mendengarnya…yang tidak jemu kamu sahaja.”
Beliau juga enggan bercakap mengenai dua pegawai polis yang ditangkap atau berapa ramai orang yang disiasat berhubung penemuan kubur-kubur tersebut.
Beliau berkata, “ Saya tidak perlu memberitahu kamu (wartawan).”
Menurut The Star lagi, Khalid mengesahkan pihak yang bertanggungjawab ke atas kubur-kubur di Wang Kelian di antara 37 orang yang ditangkap bersabit pemerdagangan manusia tahun ini.
“Hanya apabila kami mendapat maklumat daripada pihak Thailand dan selepas kubur pertama ditemui baru kami membuat pemeriksaan dari Tangga Seratus hingga Kampung Wai,” beliau berkata.
“Berdasarkan pencarian itu, kami menemui kem-kem dan kubur itu,” tambah Khalid yang turut menafikan satu laporan The Star bahawa kubur-kubur tersebut ditemui pada Januari dan bukan 11 Mei.