
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS (MASEU), Mohd Jabarullah Abd Kadir berkata, tarikh baharu itu ditetapkan bagi memberi ruang kepada pemilik tunggal MAS, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) meneliti semula Perjanjian Bersama (CA).
Sebelum ini, pengurusan MAS memaklumkan kakitangan akan menerima surat pada 27 Mei, dan perlu memberi maklum balas dalam tempoh 3 hari.
Jabarullah berkata, selain meneliti CA, pihak pengurusan juga memerlukan masa bagi menetapkan jumlah akhir bagi kakitangan yang akan diberhentikan.
Mengulas mengenai jumlah kakitangan yang akan menerima tawaran pampasan ini, syarikat pengurusan baharu bagi Malaysia Airlines akan membentangkan pelan perniagaan baharu pada minggu hadapan.
Justeru, jumlah kakitangan yang akan dikekalkan untuk bertugas berkemungkinan diketahui pada masa sama.
Difahamkan, mereka yang diberhentikan akan dibayar pampasan, tetapi jumlah yang diterima mungkin tidak seperti yang dinyatakan di dalam CA.
Bagaimanapun, Jabarullah menjelaskan, maklumat berkenaan adalah tidak benar.
Pada Selasa, pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar di negara itu, membuat perjumpaan dengan barisan tertinggi bagi 9 kesatuan berkaitan MAS untuk menjelaskan situasi sebenar.
Media sebelum ini melaporkan MAS bersedia membuang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pekerjanya sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Dalam tempoh beberapa hari, kakitangan akan menerima surat sama ada penamatan kerja atau surat tawaran semula untuk berada di syarikat berkenaan di bawah pengurusan baharu.