Skip to main content
Berita TempatanGlobalHomeViral

Media Sosial Masih Medium Utama Militan IS Rekrut Anggota

By 24 Mei 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

GEORGE TOWN, 24 Mei — Siasatan dan kajian polis mendapati media sosial masih menjadi medium utama kumpulan militan IS untuk merekrut anggota baharu kumpulan itu dan memperluaskan ideologi mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan militan IS bijak menggunakan teknologi terkini terutama laman sosial Facebook biarpun cubaan menyekat kegiatan mereka giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya sasaran mereka adalah orang muda yang mudah terpengaruh dan golongan yang paling ramai menggunakan media sosial ketika ini.

“Dalam konteks rakyat Malaysia yang baru hendak (pergi) atau telah berada di Syria dan menyertai militan IS, siasatan kami mendapati 95 peratus daripada mereka direkrut melalui media sosial dan kita memang menghadapi masalah yang besar untuk mengawal serta menyekat sebab kebanyakan mereka (militan IS) mahir menggunakan teknologi terkini.

“Bila kita sekat laman sosial contohnya Youtube, mereka (militan IS) guna alternatif lain dan guna WeeChat dan medium lain sebagainya serta ia (media sosial) digunakan secara sulit untuk sebarkan ideologi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum berkaitan Militan IS anjuran Masjid Kampung Rawa, di sini malam tadi.

Ayub Khan berkata setakat ini pihaknya mengenal pasti 63 rakyat Malaysia berada di Syria dan menyertai kumpulan militan IS.

“Kita kenal pasti 63 orang tetapi jumlah sebenar mungkin lebih iaitu antara lebih 80 individu berada di sana dan menyertai militan IS,” katanya.

Katanya usaha membanteras agar orang ramai tidak terpengaruh dengan militan IS dan memberi penerangan mengenai bahaya kumpulan itu kepada masyarakat di negara ini perlu dilakukan secara berterusan.

“Biarpun polis telah menjalankan pelbagai tangkapan terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan militan IS tetapi kami percaya masih terdapat individu yang menyertai mereka kerana terpengaruh dengan ideologi kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri dan memberi penerangan kepada masyarakat di masjid dan surau adalah antara langkah yang baik serta berkesan.

Ayub Khan berkata peranan polis lebih menjurus kepada penguatkuasaan dalam mengekang mereka agar tidak terlibat dengan militan IS manakala pihak-pihak lain boleh memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada masyarakat melalui pelbagai cara.

“Berdasarkan siasatan dan soal siasat, polis mendapati mereka terpengaruh dengan militan IS berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang disebarkan kumpulan itu. Bagaimanapun ia (ayat Al-Quran) telah diputar belit dan disalah tafsirkan bagi memperlihatkan mereka betul.

“Saya juga berpendapat perkara itu lebih sesuai diperjelaskan oleh pihak berkuasa agama kerana polis tidak mempunyai kuasa dan sekarang ini kami bekerjasama dengan jabatan agama dalam menjalankan program mengekang militan IS,” katanya.

Sementara itu, katanya, polis sentiasa bekerjasama rapat dengan Interpol namun wujud kekangan dari segi keselamatan menyebabkan pihak berkuasa sukar masuk ke negara bergolak ketika ini.

“Dalam konteks militan IS ini, Interpol pun menghadapi kesukaran sebab kalau masuk ke Syria dan Iraq, dua negara berkenaan memang tengah bergolak jadi macam mana mereka (Interpol) hendak menguatkuasakan peraturan undang-undang dan sebagainya.

“Macam sekarang ini, kalau ada rakyat Malaysia terbunuh di sana macam mana kita hendak sahkan mereka (rakyat Malaysia), kita tidak boleh ambil DNA mayat dan hendak bawa balik pun susah, kita juga tidak boleh minta kerajaan, polis atau pihak berkuasa di sana pergi dan menyiasat sebab Syria sendiri berada dalam kucar kacir,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda