Skip to main content
Home

Rancangan Operasi Semula Tren Gemas-Gua Musang

By 28 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 28 Mei, (Malaysiaaktif)  – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengemukakan perancangan pengoperasian semula perkhidmatan tren antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Bukit Abu.

Operasi dicadangkan bermula pada pertengahan Julai 2015, setelah  kerja-kerja pemulihan sementara landasan siap dijalankan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan petang ini, SPAD telah menjalankan pemeriksaan terperinci landasan pada 21 Mei lalu.

Berikutan itu, pada 25 Mei,  KTMB telah membentangkan kepada SPAD mengenai kerja baikpulih dengan  memberi  fokus  kepada  pemulihan  sementara  landasan  di  antara  Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu.

Ia bertujuan mengembalikan keadaan landasan kepada tahap selamat bagi penggunaan dan operasi tren.

KTMB dengan itu merancang untuk memulakan operasi secara separa sebelum kerja-kerja keseluruhan  pembaharuan  landasan  siap,  dengan  jaminan  bahawa  langkah-langkah kawalan yang ketat akan diutamakan.

Kerja-kerja pemulihan sementara landasan tersebut merangkumi kerja-kerja seperti pelebaran semula longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dan klip landasan yang baru.

Kerja-kerja pembaikan secara keseluruhannya di sepanjang koridor yang terjejas teruk akibat banjir akan dijalankan oleh kontraktor dilantik Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2017.

Menurut SPAD, bagi memastikan langkah-langkah kawalan serta  persediaan untuk operasi secara separa dibuat dengan rapi, KTMB perlu mematuhi keperluan yang ditetapkan SPAD sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

KTMB telah diarah oleh SPAD untuk mengemukakan semula permohonan bagi pembukaan separa landasan serta operasi tren tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk kembali beroperasi.

Tarikh pembukaan landasan dan perkhidmatan tren di sektor Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu akan ditentukan oleh   SPAD setelah KTMB   memenuhi semua  kerja  pemulihan  sementara  landasan   serta  syarat-syarat  keselamatan yang ditetapkan.

Sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAD, KTMB akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap aspek-aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.

Laluan tren  di antara Gemas – Gua Musang terhenti berikutan banjir besar yang berlaku penghujung tahun lalu hingga mengakibatkan landasan binasa.

Tinggalkan komen anda