Skip to main content
EkonomiHomeViral

1,773 Notis Dikeluarkan Terhadap Peniaga Kerana Naik Harga

By 30 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Syed Hisham Shah Al-Shahabudin

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif)  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengeluarkan sejumlah 1,773 notis terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan di bawah Ops Catut Fasa I dan fasa II bagi tempoh 15 Januari hingga 28 Jun 2015.

Notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata sebanyak 1,184,565 pemeriksaan telah dibuat dan daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 4,507 kes diambil tindakan dengan jumlah rampasan bernilai RM822,216 serta kompaun berjumlah RM591,936.

“Sebanyak sembilan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan telah dibicarakan di mahkamah melibatkan kesalahan seksyen 14(1) kesalahan mencatut dan seksyen 21(5) kerana enggan atau tidak memberi maklum balas notis seksyen 21,” katanya.

Antara premis yang diperiksa termasuk pasar basah, pasar malam/tamu, kedai runcit , bazar Ramadan  dan pasar tani .

Beliau berkata tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang melanggar akta itu yang memperuntukkan denda RM100,000 terhadap individu atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya atau denda RM500,000 ke atas syarikat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan ke Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP).

Beliau diberi taklimat mengenai PGAP yang lebih tertumpu pada penguatkuasaan anti pencatutan.

Pegawai-pegawai terbabit  bertanggungjawab memantau kesemua 222 kawasan parlimen di seluruh negara dan data maklumat harga yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyalurkan maklumat berkaitan perubahan kenaikan harga yang tidak munasabah.

 

Tinggalkan komen anda