Skip to main content
EkonomiHomeViral

Impak Global Krisis Greece Boleh Beri Kesan Kepada Malaysia – PM

By 30 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri

PUTRAJAYA, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Walaupun ekonomi negara tidak akan terkesan secara sistematik di Malaysia berikutan krisis kewangan di Greece, namun kesan secara tidak langsung boleh berlaku ekoran impak global.

Ini yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan petang kelmarin.

Menurut beliau, kunci utama kepada masalah kewangan Greece ialah sama ada ia akan kekal sebagai anggota Zon Eropah.

Najib berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai impak krisis di Greece ke atas Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Kebangsaan di Kementerian Kewangan.

 

20150629004206 (2)

Antara yang hadir di mesyuarat ini termasuk Menteri Besar dan Ketua Menteri. – Foto: Diyana Zamri

 

Beliau berkata Malaysia akan mengikuti perkembangan di negara itu secara terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan.

Greece telah mengenakan kawalan modal dan mengarahkan bank-bank di negara itu supaya ditutup sementara selepas kegagalan rundingan bantuan dengan negara-negara pemberi kredit.

Sehingga kelmarin Greece berhadapan dengan hanya 48 jam untuk membayar balik sejumlah 1.6 bilion Euro (RM6.7 bilion) kepada Dana Kewangan Antarabangsa atau sekiranya gagal boleh menyebabkan negara itu terkeluar dari Eurozone.

 

20150629004155

Foto: Oleh Diyana Zamri

 

Mengenai mesyuarat itu pula, Najib berkata kerajaan Negeri digesa mempertingkat usaha mengutip cukai dan mengurangkan hasil tertunggak.

Perdana Menteri berkata, di antara 2010 dan 2014, purata jumlah hasil tertunggak adalah sebanyak RM2bilion setahun. Sekiranya jumlah tertunggak itu dapat dikurangkan sebanyak kira-kira 25 peratus, pendapatan sesebuah negeri boleh bertambah sebanyak RM599 juta.

Beliau juga berkata usaha kerajaan-kerajaan negeri untuk mengurangkan hasil tertunggak akan dipantau dan dilaporkan kepada Majlis Kewangan Kebangsaan.

Tanpa menamakan mana-mana negeri, Najib berkata kerajaan-kerajaan negeri boleh merujuk kepada kerajaan negeri lain yang lebih berpengalaman dalam usaha meningkatkan hasil.

Najib, antara lain, mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan kadar cukai tanah berbeza untuk perladangan skala kecil dan skala besar.

Majlis turut bersetuju menyediakan dana tambahan sebanyak RM880 juta kepada Dana Simpanan Negeri (KWRN).

Hadir di mesyuarat itu termasuk, Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan,  Kementerian Kewangan  Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

 

Tinggalkan komen anda